JenayahMalaysiaSetempat

Hati-hati sindiket penipuan guna nama LHDN

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta berhati-hati dengan taktik sindiket penipuan yang menggunakan nama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan meminta mangsa membayar tunggakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Dalam satu kenyataan, LHDN memaklumkan sindiket itu dikesan meminta mangsa berbuat demikian menerusi surat palsu yang menggunakan nama dan logo LHDN bagi memperdaya orang ramai.

Menurut kenyataan itu, surat berkenaan mengandungi butiran peribadi mangsa, termasuk maklumat perbankan dan amaun cukai tertunggak yang perlu dibayar, selain tandatangan palsu pegawai LHDN.

Bagaimanapun, LHDN menjelaskan pihak yang menerima surat itu boleh mengesan sama ada ia palsu atau tidak dengan mudah, kerana hal ehwal SST dikendalikan agensi lain dan bukannya di bawah LHDN.

“LHDN memandang serius perkara ini dan orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan setiap panggilan, e-mel mahupun surat yang meragukan, dengan mendapatkan pengesahan LHDN terlebih dahulu.

“Sebarang bayaran cukai juga hendaklah dibuat terus ke akaun LHDN dan bukannya melalui akaun peribadi individu mahupun pihak ketiga,” jelas kenyataan itu, hari ini.

Orang ramai yang mahukan maklumat lanjut dengan melayari portal rasmi LHDN menerusi www.hasil.gov.my, manakala sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara itu boleh diajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-89111100 (Luar Negara); HASiL Live Chat; borang maklum balas di portal rasmi LHDN; atau Facebook serta Twitter rasmi LHDN.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close