
KUALA LUMPUR, 13 Julai — TM Wholesale, cabang perniagaan global dan borong Telekom Malaysia Bhd (TM) akan menjalinkan kerjasama dengan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) untuk menyediakan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
Dua syarikat itu berkata kerjasama itu akan membolehkan mereka memberi pengalaman perkhidmatan yang dipertingkatkan dan memacu pertumbuhan ekonomi untuk mempercepatkan Digital Malaysia.
“Menerusi perjanjian yang termeterai, TM akan menyediakan perkhidmatan rangkaian HSBB Layer 3 kepada Digi, membolehkan penyedia perkhidmatan digital itu memperluaskan operasinya ke lebih banyak kawasan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, memanfaatkan infrastruktur rangkaian fiber TM yang luas dan kukuh,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama hari ini.
Naib Presiden Eksekutif TM Wholesale, Amar Huzaimi Md Deris berkata bahawa penularan COVID-19 telah membuktikan bahawa orang ramai dan organisasi bergantung kepada kesalinghubungan Internet untuk komunikasi dalam talian dan peralatan digital untuk terus berhubung serta kekal produktif semasa berada di rumah.
“TM selama ini menyokong perkongsian infrastruktur tersebut dan kerjasama ini menggunakan perkhidmatan rangkaian HSBB kami sebagai platform mengulangi komitmen kami untuk membantu mempercepatkan penggunaan jalur lebar.
“Sehubungan itu, kami akan terus memainkan peranan unik kami sebagai penyedia berkecuali dengan memberikan akses terbuka di kalangan penggiat industri yang akan membuka jalan bagi penawaran pakej Internet yang lebih luas dan lebih kreatif untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Digi, Loh Keh Jiat berkata kerjasama itu akan membolehkan Digi menghubungkan tiga juta isi rumah di seluruh negara dengan perkhidmatan Internet fiber, ia memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk menikmati pengalaman kesalinghungan sepenuhnya di rumah dan di mana-mana sahaja.
“Memanfaatkan infrastruktur yang sedia ada juga membolehkan penyedia perkhidmatan untuk fokus terhadap memulakan perkhidmatan mereka di kawasan penting, sekaligus meningkatkan liputan dan menambahbaik pengalaman pelanggan dalam merapatkan jurang digital.
“Ia akan menguntungkan pengguna dan syarikat perniagaan dengan menyediaka rakyat Malaysia dengan kesalinghubungan bertaraf dunia yang pantas, seterusnya meningkatkan penembusan jalur lebar di seluruh Malaysia,” katanya.