Malaysia

19 terperangkap selamat dalam kebakaran bengkel motosikal

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan 19 individu yang terperangkap di tingkat dua sebuah rumah kedai di Jalan Megan Setapak, Wang Maju di sini apabila sebuah bengkel motosikal yang terletak di tingkat bawah bangunan itu terbakar, malam tadi.

Lima pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak, BBP Wangsa Maju, BBP Keramat, BBP Hang Tuah dan BBP Seputeh digerakkan ke lokasi, sebaik Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima laporan kejadian pada jam 11.17 malam.

Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said, berkata seramai 42 anggota bomba bersama empat jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua jentera tangki air digunakan dalam kerja pemadaman kebakaran itu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati sebuah bengkel motosikal di bahagian bawah bangunan empat tingkat itu sedang terbakar kira-kira 50 peratus dan api mula merebak ke tingkat satu bangunan.

“Kita terus melakukan kerja-kerja mengawal api secara agresif untuk memastikan kebakaran daripada terus merebak dengan lebih cepat kerana terdapat penghuni terperangkap di tingkat atas bangunan.

“Kesemua 19 mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dan dibawa turun daripada bangunan menggunakan tangga jentera FRT,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua mangsa terdiri daripada lapan lelaki dan 11 wanita selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Keluasan kebakaran membabitkan 200 kaki persegi dan lima motosikal serta alat ganti yang ada di dalam bengkel berkenaan musnah 100 peratus.

“Kebakaran berjaya dikawal sekitar jam 11.41 malam sebelum anggota bomba meneruskan kerja pemadaman api secara ‘overhaul’ dan memastikan api dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini jumlah kerugian dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close