
KUALA LUMPUR- Meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai Pakatan Harapan bukanlah satu penghijrahan yang baik kerana ianya tidak menjadikan negara dan rakyat menjadi lebih baik, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam satu hantaran panjang sempena sambutan Maal Hijrah, Ahli Parlimen Pekan itu mengingatkan orang ramai supaya merenung kembali “perjalanan hijrah golongan yang telah meninggalkan UMNO dan BN” ketika itu.
“Tanyalah kepada mereka yang diberhentikan kerja, adakah itu penghijrahan yang baik?
“Tanyalah kepada mereka yang ditarik bantuan, adakah itu penghijrahan yang lebih baik?
“Tanyalah kepada mereka yang dijanjikan sejuta peluang pekerjaan yang berkualiti, adakah penghijrahan yang mereka mahukan itu berlaku?
“Tanyalah kepada mereka yang dijanjikan dengan penghapusan hutang PTPTN dan hutang Felda, adakah hijrah yang mereka mahukan itu tercapai?
“Adakah aset-aset umat Islam semakin bertambah? Atau semakin berkurang, dilelong oleh orang yang mereka tuju itu.
“Sudah tentulah tidak.
“Sempena tahun baru Maal Hijrah hari ini, saya dengan rendah diri ingin mengajak semua rakyat Malaysia hayatilah maksud sebenarnya hijrah.
“Janganlah kita tertipu lagi dengan orang-orang yang tidak baik seperti itu,” katanya.
Najib juga mengajak rakyat untuk kembali menyokong UMNO dan BN yang telah terbukti mampu menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhannya.
“Janganlah terpedaya lagi dengan orang-orang yang menjanjikan bulan dan bintang kerana hakikatnya itu bukanlah erti penghijrahan yang sebenar.
“Iyalah, siapa yang tidak pernah melakukan kesilapan. Semua melakukan kesilapan termasuk saya,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette