
SAN FRANCISCO: TikTok pada Khamis memaklumkan, ia sudah membuang lebih 380,000 video di Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini sebagai sebahagian daripada misinya untuk ‘menghapuskan kebencian’ menerusi platform itu.
TikTok turut melarang kira-kira 1,300 akaun kerana melanggar peraturan terhadap kandungan atau tingkah laku yang membenci, dan menghapuskan 64,000 komen atas alasan yang sama, demikian menurut aplikasi sensasi perkongsian potongan video itu.
“Jumlah itu tidak menggambarkan kadar kejayaan 100 peratus dalam menarik setiap bahagian kandungan atau tingkah laku yang membenci, namun ia menunjukkan komitmen kita untuk bertindak.
“Matlamat kita adalah untuk menghapuskan kebencian melalui TikTok,” kata Ketua Keselamatan TikTok AS, Eric Han dalam kenyataan yang dimuat naik di blognya.
Rumusan Han mengenai apa yang sedang dilakukan TikTok bagi memerangi kebencian itu dibuat berikutan aplikasi itu mempertahankan diri daripada apa yang dipanggil “khabar angin dan maklumat yang salah” mengenai kaitannya dengan kerajaan China.
Presiden Donald Trump mengeluarkan arahan eksekutif kepada syarikat induk TikTok, ByteDance, yang berpangkalan di China, dengan memberi tarikh akhir untuk menghentikan TikTok di AS dan melepaskannya.
“TikTok tidak pernah memberi sebarang data pengguna AS kepada kerajaan China atau akan melakukannya jika diminta.
“Sebarang sindiran yang bertentangan adalah tidak berasas dan secara terang-terangannya palsu,” katanya syarikat itu dalam kenyataan baru-baru ini.
TikTok memaklumkan, data pengguna AS disimpan di negara itu, dengan data sokongannya di Singapura.
Han pada Khamis menggariskan peraturan dan tindakan yang diambil untuk lebih menyukarkan carian kandungan yang mengancam, ganas atau tidak berperikemanusiaan di TikTok. – AFP