Ubah strategi bela nasib pekebun kecil getah

PEKEBUN kecil getah masih terkesan dengan harga getah yang lama merudum sehingga kehidupan mereka mencabar, apatah lagi dengan pendapatan yang tidak seberapa.
Susulan kerajaan menyemak semula Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan menaikkannya daripada RM980 kepada RM2,208, ramai pekebun kecil kini tergolong dalam kategori di bawah paras kemiskinan.
Masihkah ada harapan bagi mereka dengan tanda pemulihan ekonomi dunia masih samar daripada pandemik COVID-19? Pekebun kecil getah sangat bergantung kepada penambahbaikan harga getah dunia.
Namun, dunia menyaksikan gelombang baharu jangkitan sehingga timbul kebimbangan perintah kawalan diperketatkan semula, termasuk larangan perjalanan. Jika ia berlaku, pemulihan ekonomi akan tertangguh lagi.
Permintaan getah berkait rapat dengan kerancakan pembelian kereta. Apabila pembelian kereta meningkat, permintaan untuk tayar akan bertambah. Permintaan dari China antara pemacu utama pertambahan.
Disebabkan hampir 70 peratus getah asli digunakan dalam pembuatan tayar, sentimen pasaran kereta yang positif akan membantu melonjak harga getah dunia seperti yang banyak kali berlaku sebelum ini. Namun, harga yang baik juga selalunya tidak dapat dikekalkan bagi tempoh lama jika bekalan tidak diurus dengan baik.
Harga akan kembali rendah jika bekalan naik mendadak. Apabila permintaan melonjak, ramai yang menoreh, sekali gus menyebabkan bekalan melonjak naik dan memberi tekanan menurun pada harga.
Pengeluar utama getah asli dunia memperkenalkan pelbagai langkah campur tangan secara pasaran untuk menstabilkan harga getah. Instrumen seperti Pertubuhan Getah Asli Antarabangsa (INRO) dan Perjanjian Getah Asli Antarabangsa (INRA) kini menjadi sejarah kerana ia hanya berupaya menstabilkan harga pada paras rendah yang lebih menguntungkan industri hiliran terutama pengusaha tayar.
Kebelakangan ini, Pertubuhan Persidangan Getah Antarabangsa (IRCO) menjadi instrumen pasaran baharu yang dibiayai bersama oleh Malaysia, Indonesia dan Thailand. Selepas beroperasi selama beberapa tahun, kesan terhadap harga getah hampir kosong.
Seperti dijangka, instrumen intervensi pasaran berkenaan terbukti tidak berkesan. Selagi pengeluar tidak bekerjasama mengawal bekalan, instrumen campur tangan pasaran hanya pembaziran dana. Dana itu mungkin lebih baik disalurkan untuk penyelidikan dan pembangunan.
Apa yang jelas, perladangan getah memerlukan model perniagaan baharu yang tidak menjadi ‘hamba’ kepada harga rendah dan berubah.
Ramai pakar mencadangkan pekebun kecil perlu berhijrah kepada model perniagaan berasaskan kepelbagaian yang memang menjadi amalan majoriti perdagangan di dunia ini.
Ada dua cara kepelbagaian perniagaan sama ada mendatar atau menegak. Dalam kes penanaman getah, kepelbagaian mendatar membabitkan pelaburan dalam tanaman tambahan yang mampu meraih pendapatan.
Sebelum ini, ada langkah mengusahakan tanaman tambahan di kawasan antara barisan getah.
Namun, usaha sedemikian hanya berhasil ketika usia pokok getah belum matang kerana kanopi daun tidak menghalang pendedahan kepada cahaya matahari.
Apabila pokok getah matang, amalan sedemikian tidak lagi berhasil, kecuali bagi tanaman toleransi redup cahaya.
Pendekatan kepelbagaian lebih baik jika mempunyai tapak berasingan bagi pokok tambahan yang dipilih. Antara tanaman dicadangkan ialah buluh.
Menggunakan strategi seperti ini, petani tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada hasil getah yang pulangannya terbukti sangat tidak menentu.
Bagi mempelbagaikan rantaian nilai pula, sudah sampai masa pekebun meneroka peluang perniagaan hiliran berasaskan getah, termasuk perniagaan pemprosesan getah mentah dan beberapa produk berasaskan getah yang mudah dihasilkan.
Pada era e-dagang sekarang, produk terbabit berpotensi menembusi pasaran serantau atau tidak mustahil juga ke pasaran dunia. Terdapat banyak produk getah boleh diterokai.
Institusi penyelidikan getah mungkin boleh berusaha membangunkan konsep kilang kecil bagi menyokong usahaniaga berkenaan oleh pekebun kecil.
Di Thailand, model perniagaan sedemikian lumrah diamalkan. Justeru, antara langkah yang boleh diambil untuk melaksanakan model perniagaan berkenaan adalah menerusi penubuhan koperasi.
Selain itu, kita perlu menggalakkan graduan celik teknologi pertanian menceburi perniagaan hiliran berkenaan. Dengan ada teknologi berasaskan internet baharu, tidak ada sebab model perniagaan terbabit tidak boleh berfungsi dengan baik.
Satu projek perintis perlu dimulakan bagi bernilai pendekatan itu. Sudah terlalu lama pekebun kecil getah menderita dan mengejar kemajuan mengguna model perniagaan yang tidak lagi sesuai.
Sudah tiba masa untuk memikirkan semula cara pekebun kecil getah meraih kemajuan. Dengan teknologi baharu berpandukan internet dan kecerdasan buatan, peluang untuk berubah kepada model perniagaan yang lebih menguntungkan sudah tiba.
Tanpa penghijrahan kepada peluang baharu ini, kelestarian pengeluaran getah negara akan tercabar.