MalaysiaPolitic

Dari 101 projek rundingan terus, 31 adalah projek warisan BN – Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) hari ini memberitahu tidak semua 101 projek rundingan terus yang disebut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz adalah dibawah pemerintahan PH.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, daripada keseluruhan projek itu, sejumlah 31 projek yang bernilai RM1.753 bilion merupakan projek yang diwarisi kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kebanyakan projek rundingan terus ini bukan inisiatif baru daripada PH tetapi adalah projek yang diwarisi zaman BN.

“Bezanya PH telah meneruskan projek-projek ini dengan pemotongan kos yang menghasilkan penjimatan yang ketara.

“Apa yang mengejutkan ialah rupa-rupanya projek rundingan terus di bawah inisiatif PH bukannya RM6.61 bilion seperti yang diwar-warkan. Tetapi hanya RM352 juta.

“Baki RM6.258 bilion ialah projek yang diwarisi dan sambungan dari zaman BN yang terpaksa diteruskan oleh PH,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, semalam.

Tambah Guan Eng lagi, hanya RM352 juta atau 5.3% daripada RM6.61 bilion merupakan perolehan baru rundingan terus yang dilaksanakan kerajaan PH.

“Daripada senarai ini, RM170 juta, iaitu hampir setengah atau 48.3% daripada nilai keseluruhan adalah untuk projek membina, mengoperasi dan menyelenggara stesen pemindahan sisa pepejal baharu di Taman Beringin, Jinjang Utara bagi menggantikan stesen sedia ada. Projek ini diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Mungkin lebih baik jika Menteri terlibat, YB Ampang yang begitu lantang menafikan penawaran sebarang kontrak rundingan terus, boleh menjelaskan apa sebabnya projek ini ditawarkan secara runding terus,” katanya lagi

Selain itu, Guan Eng berkata, kontrak RM70 juta telah diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mencetak Buku Teks Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akibat kesuntukan masa.

Projek rundingan terus terbesar daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MoA) adalah “Operasi Bersepadu Wabak Rabies” berjumlah RM2.98 juta, jelas Guan Eng lagi.

“Peruntukan ini adalah terdesak untuk mengatasi kecemasan wabak rabies di Negeri Sarawak. Adakah kerajaan perlu menunggu di waktu menghadapi masalah kesihatan untuk menjalankan operasi melawan wabak rabies,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Source
Malaysiagazette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close