Malaysia

MB arah kilang punca pencemaran Sungai Selangor diroboh

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor telah mengeluarkan arahan kepada pemilik kilang yang menyebabkan pencemaran Sungai Selangor sebanyak dua kali agar memulihkan lokasi operasi dan merobohkan bangunan itu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, kerajaan negeri menerusi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memberi tempoh tertentu kepada pemilik kilang terbabit untuk berbuat demikian.

Katanya, jika mereka tidak mematuhi arahan itu, kerajaan negeri sendiri akan bertindak merobohkan kilang berkenaan dan menghentikan operasinya.

“Kita sudah arahkan pemilik untuk pulihkan pencemaran yang mereka lakukan dan serentak itu juga kita minta mereka kosongkan tanah serta robohkan bangunan itu dalam tempoh tertentu.

“Kalau mereka tidak mematuhinya, kita akan robohkan dan jika kilang itu mahu beroperasi lagi, kita serahkan kepada MPS untuk memantau dan melihatnya sama ada sesuai atau tidak.

“Tetapi, pada masa ini kita akan tutup untuk tempoh tiga atau empat bulan ini sebelum ia betul-betul selamat,” katanya pada sidang media di Air Selangor di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Amirudin, beliau merasakan selepas dua kali kejadian berlaku, kerajaan negeri menerusi MPS akan menyemak semula secara terperinci kilang itu kerana perbuatan mereka telah menyusahkan 1.197 juta akaun di seluruh Selangor.

Beliau turut memaklumkan, pemilik kilang berkenaan telah direman selama enam hari selepas laporan polis dibuat.

Ditanya mengenai status kilang itu, Amirudin berkata, ia dibina di tanah milik persendirian, cuma pemiliknya tidak mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT)

“Setakat ini memang rizab sungai tidak dibenarkan dibina sebarang aktiviti, tetapi dalam kes ini, kilang berkenaan dibina atas tanah sendiri, cuma kebenaran dan sebagainya itu bergantung dengan syarat.

“Saya dimaklumkan, operasi kilang ini juga dibuat tanpa Kebenaran Merancang (KM), dan kita semak semula sejauh mana kawasan itu dengan sungai dan sebagainya.

“Semakan ini bukan saja pada jarak jauh kilang dengan sungai, tetapi turut merangkumi kolam-kolam takungan,” katanya.

Untuk itu, kata beliau, Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama Jabatan Parit dan Saliran (JPS) akan menyemak kolam takungan kerana dikhuatiri dalam kes ini kawasan itu menjadi tempat pengumpulan sementara bahan sisa berkumpul, sekali gus menjadi punca pencemaran. – MalaysiaGazette


Source
Malaysiagazette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close