MalaysiaPolitic

Hipokrit kalau mahu tutup sekolah vernakular, tetapi hantar anak ke sekolah swasta

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas ahli politik tertentu sebagai hipokrit kerana menyeru penutupan sekolah vernakular, tetapi sendiri menghantar anak ke sekolah swasta yang mengenakan yuran mahal.

Syed Saddiq yang mahu menubuhkan parti untuk belia berkata, kenyataan untuk menamatkan persekolahan pelbagai aliran tidak melambangkan semangat Malaysia.

Beliau berkata, Malaysia adalah terkenal dengan nilai kesederhanaan dan keseimbangan yang ada dalam negara harus dikekalkan.

“Jika sekolah Cina diharamkan, maka pihak berkenaan juga akan bertanya tentang sekolah agama, sekolah pondok dan sekolah swasta,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, orang ramai suka mengelakkan isu sekolah swasta walaupun membangkitkan perbincangan mengenai sekolah pelbagai aliran di Malaysia.

“Kenapa tidak bertanya kepada orang politik yang menghantar anak mereka ke sekolah swasta yang mengenakan yuran bulanan yang sangat mahal.

“Orang-orang ini pula bercakap mahu menghapuskan sekolah vernakular, ini adalah hipokrit,” katanya.

Syed Saddiq berkata, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki telah menghantar anaknya untuk belajar di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

“Oleh itu, ia adalah pelik apabila UMNO dan Bersatu berkata mahu melarang sekolah pelbagai aliran.

“Jangan lupa tentang Rukun Negara dan Perlembagaan Negara,” katanya.

Beliau berkata, daripada melarang sekolah tertentu, isu yang perlu diutamakan adalah kualiti pendidikan sendiri.

“Kami tidak perlu melarang sekolah swasta atau sekolah agama, tetapi yang penting adalah meningkatkan kualiti pendidikan negara supaya ia menjadi pilihan utama semua orang,” katanya. – MalaysiaGazette

Source
Malaysiagazette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close