JAS nafi beri hak eksklusif kendali buangan terjadual

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menafikan dakwaan pemberian hak eksklusif kepada mana-mana ‘Premis Yang Ditetapkan Buangan Terjadual’ (PYDT BT) bagi mengendalikan buangan terjadual di negara ini.
Sebaliknya, JAS melesenkan Kemudahan Pemerolehan Kembali, Pengolahan dan Pelupusan Terjadual di seluruh negara, membabitkan 406 kemudahan PYDT BT dan 343 pengangkut.
Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar, berkata ia bagi memastikan pengurusan buangan terjadual adalah berkesan dan memenuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
Katanya, semua industri serta punca yang menghasilkan buangan terjadual hendaklah menguruskan buangan itu dengan sempurna, dari segi notifikasi, maklumat ciri buangan, penstoran, pelabelan, inventori dan maklumat pergerakan buangan terjadual.
“Semua ini perlu direkodkan melalui sistem dalam talian iaitu eSWIS (Electronic Scheduled Waste Information System), selaras kehendak Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
“JAS tidak terbabit dalam sebarang penetapan kos dan sebarang kos dikenakan ke atas pengeluar buangan, (ia) adalah ditetapkan PYDT BT yang dilesenkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas mesej yang tular di media sosial mendakwa pencemaran sungai berpunca daripada dasar kerajaan yang memberikan kontrak eksklusif kepada beberapa syarikat pengumpulan buangan terjadual.
Mesej itu turut mendakwa syarikat berkenaan mengambil kesempatan dengan menetapkan kos sangat tinggi bagi kerja pengumpulan buangan terjadual, sekali gus menyebabkan pengilang memilih untuk membuangnya di longkang atau sungai berhampiran.
Norlin berkata, kerajaan pernah memberi hak eksklusif bagi operasi ‘Centralized Integrated Scheduled Waste Management Center’ kepada Kualiti Alam Sdn Bhd selama 15 tahun, mulai 1 Mac 2000 dan tamat pada 28 Februari 2015.
“Dalam hal ini, kerajaan bercadang untuk membina lima kemudahan pengurusan sisa bersepadu iaitu di Johor, Perak, Terengganu, Sabah dan Pulau Pinang bagi memastikan sisa buangan terjadual dapat diurus dengan lebih baik serta sempurna,” katanya.