118 orang terbabit dalam aktiviti pub, kelab malam ditahan

KUALA LUMPUR- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 221 individu kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebanyakan kesalahan yang dilakukan semalam berkaitan aktiviti dalam pub/kelab malam iaitu 118 individu, diikuti penjarakan fizikal (43), kegagalan menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (34), tidak memakai pelitup muka (18), premis beroperasi melebihi masa (5), tangkapan pendatang asing tanpa izin (2) dan gagal mematuhi perintah kuarantin (1).
“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 61,462 pemeriksaan semalam (8 September 2020) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Sebanyak 3,223 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 13,769 anggota telah membuat pemantauan di 3,945 pasar raya, 5,405 restoran serta 1,518 penjaja, 1,204 kilang, 3,870 bank dan 788 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 1,110 terminal pengangkutan darat, 193 terminal pengangkutan air serta 83 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, sebanyak 24 tangkapan dilakukan dalam Operasi Benteng semalam, melibatkan 61 PATI dan lima tekong.
Ismail Sabri berkata, pasukan Angkatan Tentera Malaysia berjaya menahan 26 PATI dan lima tekong di atas kesalahan imigresen di Bandar Penawar, Johor manakala 12 PATI telah ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Sebanyak 72 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (58 SJR), AKSEM (10 SJR), dan ATM (4 SJR). Pihak PDRM melalui SJR Ops Benteng telah memeriksa 24,972 kenderaan dan berjaya melakukan 11 tangkapan.
Sejak 24 Julai sehingga 8 September 2020, seramai 25,688 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 70 Hotel dan 8 Institut Latihan Awam (ILA), serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan. Daripada jumlah itu, seramai 10,390 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 68 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 15,230 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.
Mereka telah pulang dari 32 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand & Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette