
MAYAT pengusaha bengkel mengecat kereta yang ditemui mati ditetak di bengkelnya di Bandar Amanjaya. FOTO IHSAN PDRM
Sungai Petani: Pengusaha bengkel mengecat kereta ditemui mati dipercayai akibat ditetak di hadapan bengkelnya di Jalan Anggerik, Bandar Amanjaya, di sini, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.10 pagi memaklumkan penemuan mayat lelaki berusia 33 tahun di lokasi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa parah di kepala, lengan kanan, dada dan bahu.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai berlari ke ruang belakang dan memecahkan dinding papan untuk melarikan diri ke kedai besi bersebelahan.
“Kejadian dipercayai berlaku pada 12.30 tengah malam tadi mengejutkan dua pekerja warga Bangladesh yang sedang tidur dalam bilik apabila terdengar bunyi bising dan dinding pecah,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Adzli berkata, dua pekerja asing itu ternampak mangsa jatuh di depan bilik berdekatan bilik air dan disyaki sudah meninggal dunia.
Katanya, berikutan itu, pekerja asing terbabit menghubungi majikan mereka untuk memaklumkan mengenai kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu kesan torehan pada bahu mangsa, satu kesan cedera pada dada dan lengan kanan serta kesan kecederaan di atas kepala dipercayai akibat hayunan senjata tajam.
“Selain itu, turut ditemui tatu pada lengan kiri mangsa tertulis angka 35, namun senjata disyaki digunakan dalam kejadian itu tidak ditemui setakat ini,” katanya.
Menurutnya, semakan rekod mendapati mangsa mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan dadah.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), d sini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kita sedang menjalankan siasatan untuk mengesan suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian,” katanya.