Malaysia

60 peratus pertukaran ‘guru duka lara’ selesai sejak 2016

SEKINCHAN: Kementerian Pendidikan sudah menyelesaikan kira-kira 60 peratus pertukaran ‘guru duka lara’ di seluruh negara sejak 2016, kata Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya.

Katanya, pertukaran guru diluluskan berdasarkan beberapa kriteria seperti kepentingan perkhidmatan, kekosongan jawatan dan keperluan opsyen di negeri yang dimohon.

“Contohnya, guru yang bertugas di Sabah dan Sarawak hendak bertukar ke Kelantan amat sukar kerana hanya kira-kira 100 sahaja ingin bertukar ke negeri lain berbanding 5,000 permohonan masuk ke negeri itu.

“Kita mencadangkan mereka (dari Sabah dan Sarawak) transit dahulu di Johor kerana ramai guru yang ingin keluar berbanding mereka yang ingin bertugas di negeri itu,” katanya selepas Dialog Prihatin Perikatan Nasional dan Pelancaran Bomba Komuniti Zon Selangor Utara di Pantai Batu 23, Sungai Nibong, hari ini.

Kementerian katanya, turut memberi keutamaan kepada permohonan guru atas alasan mengikuti pasangan dan kes lain seperti sakit kronik dan ancaman keselamatan.

“Guru yang belum berkahwin boleh memohon pertukaran selepas 90 bulan, sementara guru sudah berkahwin memohon selepas tempoh 60 bulan,” katanya

Sementara itu, katanya, semua pelajar di daerah Kota Setar, Kedah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pentadbiran, sejak Jumaat lalu akan mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.

Selain pelajar, semua pentadbir sekolah dan guru juga diarahkan melaksanakan proses sama hingga sekolah kembali dibuka seperti biasa.

“Pihak sekolah diminta membantu kumpulan pelajar yang tidak mempunyai akses kepada internet dan alat peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian.

“Bagi menangani perkara ini, guru boleh menghantar lembaran kerja ke rumah pelajar, atau pun ibu bapa boleh mengambilnya di sekolah,” katanya.

Muslimin yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar berkata, Home-based Learning’ turut dilaksanakan melalui siaran TV Pendidikan.

“Semalam sahaja kita masih ada 800 slot siaran TV Pendidikan yang belum disiarkan. Keutamaan ini diberikan kepada pelajar yang menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia),” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close