PRN Sabah: Pasar Tamu Jalan Gaya jadi tumpuan calon

Kota Kinabalu: Berbaki enam hari lagi untuk berkempen, calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semakin ligat mendekati pengundi.
Di Kota Kinabalu, Pasar Tamu Jalan Gaya menjadi pilihan calon yang bertanding di kerusi berhampiran pusat bandar ini.
Calon Barisan Nasional (BN), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan calon bebas mula mengunjungi lokasi tumpuan itu sejak jam 9 pagi.
Malah, penasihat DAP, Lim Kit Siang juga hadir untuk berkempen bagi calon Warisan kerusi Likas, Tan Lee Fat.
Bagi calon bebas kerusi Api-Api, Ng Chun Sua, minggu terakhir ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendekati seramai mungkin pengundi.
Menurutnya, maklum balas diterima daripada pengundi begitu baik dan diharap dapat diterjemahkan ketika hari mengundi Sabtu depan.
“Saya mahu pengundi kenal siapa yang akan mewakili suara mereka di Dewan Undangan Negeri (Dun) nanti dan diharap peluang diberikan untuk mendapat mandat.
“Walaupun atas tiket bebas, saya yakin pengundi akan menilai kemampuan dan sudah jemu dengan politik ‘katak’ yang berlaku sebelum ini,” katanya ketika ditemui.
Calon BN bagi kerusi Likas, Dr Chang Kee Ying, Pasar Tamu Jalan Gaya adalah lokasi strategik hujung minggu untuk bertemu pengundi.
Katanya, pelbagai masalah yang diutarakan orang ramai dan penyelesaian menyeluruh akan dicari apabila mandat diberikan kepada BN, Sabtu depan.
“Pengundi mahu kenal siapa calon yang akan mewakili mereka dan kehadiran di Pasar Tamu Jalan Gaya ini mendapat sambutan menggalakkan.
“Kami bergerak ke lokasi tumpuan ramai untuk berkempen namun prosedur operasi standard (SOP) tetap dipatuhi,” katanya.
Sabtu depan, 1.1 juta rakyat Sabah akan menentukan barisan kepimpinan negeri yang baharu dalam PRN ke-16 negeri itu.