JAIS tahan semula ‘Rasul Melayu’

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) malam tadi menahan semula seorang lelaki yang pernah mendakwa dirinya Rasul Melayu satu masa dahulu.
Penahanan itu ekoran ajaran sesat itu dikesan kembali aktif semula di sekitar Lembah Klang.
Selain lelaki yang mendakwa Rasul Melayu, JAIS juga menahan sebanyak 16 pengikutnya yang berusia antara 14 dan 70 tahun di tiga lokasi berasingan sekitar Selangor.
Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Operasi Khas Penguatkuasaan dilaksanakan selepas kesemua mereka dipercayai mengamalkan sebuah ajaran yang difatwakan sesat pada 28 Mac 1991 dan diwartakan pada 29 Ogos tahun yang sama oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor.
Justeru, menurut Mohd Shahzihan, pihaknya turut memohon kerjasama daripada orang ramai supaya memaklumkan sebarang aktiviti yang mencurigakan berkaitan kesalahan jenayah syariah kepada pihak penguat kuasa JAIS di talian Hotline 1- 800-88-2424. – MalaysiaGazette