Malaysia

Peniaga di Pangkalan Raja Tun Uda mengeluh, operasi feri berpindah ke SPCT

GEORGETOWN: Peniaga di Pangkalan Raja Tun Uda di sini bimbang masa depan mereka selepas operasi feri untuk pejalan kaki dipindahkan sementara ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).

Mereka khuatir kehilangan pelanggan apabila tiada lagi pengguna feri menggunakan laluan pejalan kaki di pangkalan berkenaan selepas operasi feri berpindah.

Seorang peniaga, Asilah Mansor, 30, berkata, dia dan ahli keluarganya berniaga jeruk dan pelbagai makanan ringan lain di laluan pejalan kaki pangkalan berkenaan sejak lebih 30 tahun lalu.

“Kami kecewa kerana dimaklumkan hanya dua minggu lalu mengenai operasi feri untuk pejalan kaki berpindah ke lokasi lain.

“Sudah pasti tempat ini menjadi laluan ‘mati’, tiada lagi pe­langgan ke sini. Bagaimana kami ingin meneruskan perniagaan dan mencari rezeki di sini?’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Bermula 1 Januari ini, per­khid­matan bot laju digunakan bagi membawa penumpang pejalan kaki menggantikan feri ikonik yang sudah beroperasi kira-kira 126 tahun di negeri ini.

Feri ikonik sedia ada pula hanya digunakan bagi penunggang basikal dan motosikal sehingga Julai 2022 manakala perkhidmatan feri untuk membawa kereta ditamatkan sepenuhnya bermula 1 Januari ini.

Kedua-dua terminal di Pangkalan Raja Tun Uda, Georgetown dan Sultan Abdul Halim, Butterworth diubah suai dan dinaik taraf dengan terminal di Georgetown dipindahkan sementara ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).

Menurut Asilah, pihak yang menguruskan lot-lot gerai di pangkalan itu tidak memberikan pampasan atau pengecua­lian sewa kepada para peniaga ekoran perubahan tersebut.

“Sewa di sini antara RM500 hingga RM1,000, pihak pe­ngurusan maklumkan kepada kami tetap perlu membayar sewa walaupun operasi feri berpindah.

“Kami sangat berharap se­kurang-kurangnya peniaga di sini diberikan pengecualian sewa buat sementara sehingga operasi feri dipindahkan kembali ke Pangkalan Raja Tun Uda,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Salwa Shaari, 50, berkata, mereka baru sahaja mahu memulakan kembali perniagaan selepas terkesan de­ngan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kami di sini mahu dapatkan RM10 untung pun susah. Kalau operasi feri berpindah ba­yangkan apa nasib kami selepas tempat ini tidak lagi dikunjungi orang ramai,” katanya. – UTUSAN

Source
utusan
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close