JenayahMalaysia

10 laporan ke atas Ayuni

Kuala Lumpur: Seorang eksekutif swasta kini berdepan tindakan mahkamah selepas butiran akaun banknya digunakan sindiket keldai akaun untuk kegiatan ceti haram atau along.

Bukan saja disenarai hitam dia juga kini terpaksa bersoal jawab dengan pihak berwajib selepas 10 laporan polis dibuat ke atasnya berhubung perkara itu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ayuni, 30-an berkata, dia berurusan dengan satu syarikat pinjaman berlesen tahun lalu untuk membuat pinjaman wang.

Bagaimanapun, selepas menyerahkan semua maklumat termasuk kad debit, dia mengambil keputusan untuk membatalkan niatnya itu.

Tanpa disangka, selepas beberapa bulan dia menerima panggilan daripada polis memintanya hadir ke balai untuk diambil keterangan berhubung penyalahgunaan akaun bank.

“Saya terkejut apabila mendapati ada sepuluh aduan ke atas saya kerana terdapat transaksi menggunakan akaun milik saya.

“Semuanya berkaitan along. Ada di Melaka, Kedah dan negeri lain semuanya berjumlah RM70,000 sedangkan saya tidak pernah membuat sebarang transaksi berkenaan,” katanya ketika membuat aduan kepada sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Ayuni berkata, dia dimaklumkan sindiket berkenaan adalah saki-baki penipuan gores dan menang serta sudah menyerahkan kepada PPIM untuk tindakan susulan.

Sementara itu, bagi seorang ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Borhan, 40-an, dia juga menjadi mangsa kegiatan along yang menggunakan maklumat peribadi untuk satu transaksi pembelian dalam talian.

Katanya, dia pernah meminjam along pada 2017 dan selesai pembayaran penuh pada tahun lalu.

“Saya dapat panggilan daripada polis memaklumkan satu kes penipuan menggunakan akaun saya. Bila disemak, ia akaun sama yang saya gunakan semasa berurusan dengan along.

“Ia digunakan untuk mengambil deposit daripada mangsa dan barangan tidak dihantar seperti sepatutnya. Sekarang saya pula berdepan tindakan undang-undang kerana akaun itu didaftarkan atas nama saya,” katanya.

Hampir RM1 bilion ditipu sejak Januari

Sejumlah 10,000 individu menjadi mangsa pelbagai jenis penipuan direkodkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan jumlah keseluruhan hampir RM1 bilion sejak Januari lalu.

Timbalan Menterinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ia adalah satu jumlah besar membabitkan penipuan dan orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan pelbagai bentuk penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, ia termasuk isu penipuan sindiket dengan pelbagai modus operandi dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

“Pelbagai jenis scam yang kita hadapi ini bukanlah perkara baru. Kita dihidangkan dengan penipuan pelaburan, perjudian, kecurian data dan maklumat peribadi, pembiayaan kewangan, cinta dan pewaris harta dari luar negara hampir bertahun-tahun.

“Cara yang digunakan adalah pelbagai, sama ada menggodam maklumat orang ramai, menipu dengan pelbagai alasan termasuk menyamar sebagai pihak berwajib dan menggunakan profil orang lain,” katanya.

Katanya, kerajaan akan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan siber termasuk kempen kesedaran kepada masyarakat.

“Keselamatan siber menjadi masalah utama yang menjadi punca perkara itu berlaku dan ia memerlukan kerjasama semua pihak.

“Kita di kementerian juga sentiasa memberi nasihat kepada orang ramai berdasarkan aduan yang kita terima.

“Selain peranan pihak berkuasa, orang ramai perlu berhati-hati dengan sebarang panggilan dan cubaan pihak tidak dikenali untuk mengaut untung mudah,” katanya.

Terima SMS paling ‘berhantu’

“Pesanan SMS yang saya terima pada 9.50 pagi, 28 Disember, mengejutkan saya,” kata Albert (bukan nama sebenar) apabila menceritakan pengalaman yang beliau anggap sebagai suatu yang menghantuinya.

Pesanan itu adalah makluman bahawa kad kredit yang berakhir dengan nombor XXXX sudah digunakan untuk mengeluarkan wang tunai RM3,000 pada 28 Disember dan sekiranya tidak melakukan transaksi itu, beliau perlu menghubungi khidmat pelanggan di talian 1800-81-9388.

“Saya mati akal,” kata pesara berusia 65 tahun itu.

Namun, beliau kemudian menyedari bahawa empat digit terakhir berbeza sedikit daripada angka pada kadnya. Walaupun begitu, beliau mula melakukan semua yang tidak sepatutnya dilakukan dalam situasi seperti itu.

Beliau menghubungi 1800-81-9388. Itu adalah kesalahan pertama, katanya, dan menambah: “Saya sepatutnya menelefon bank yang telah mengeluarkan kad kredit saya.”

Sudah tentu ada yang menjawab. Pada waktu itu, masih dalam keadaan terkejut, beliau tidak menyedari bahawa panggilan tersebut tidak melalui sistem penjawab telefon automatik biasa yang digunakan bank dan beliau tidak diperlukan membuat pengesahan biasa. Ini kesalahan kedua.

Orang yang menjawab panggilan itu, yang disebutnya sebagai Penipu No. 1, berkata seseorang menggunakan namanya dan maklumat lain untuk memohon kad kredit di Nilai, Negeri Sembilan.

Penipu itu memberikan setiap butiran: jenis kad kredit, nombor kad, tarikh permohonan (7 Disember 2020), tarikh kelulusan (14 Disember 2020), tarikh tamat kad. Malah, kod CVV tiga digit (nilai pengesahan kad) di bahagian belakang kad dan alamat kediaman tempat beliau pernah tinggal, lebih 30 tahun lalu.

Pada saat itu, kerana terkejut, tidak terlintas di fikiran bahawa beliau sedang ditipu.

Penipu itu “menasihati” beliau supaya membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia dan memberinya nombor telefon untuk dihubungi – 03-9212 7361 – memaklumkan bahawa beliau perlu memberikan BNM semua butiran yang dia (penipu) sudah berikan kepadanya mengenai kad kredit itu.

Albert tidak mengesahkan nombor telefon berkenaan. Itu adalah kesalahan ketiganya.

Beliau berkata tindakannya itu seolah-olah dipukau dan beliau menghubungi nombor itu. Ini adalah kesalahan keempatnya.

Seseorang, yang kemudian memperkenalkan dirinya sebagai Mohd Abdullah bin Nordin apabila ditanya, menyoal tujuannya dan meminta Albert membacakan kepadanya apa sebenarnya yang terdapat dalam pesanan SMS yang diterimanya.

Setelah membaca pesanan SMS itu, “Mohd Abdullah” berkata seseorang di bank tempat kad kredit yang dikatakan dikeluarkan itu mungkin berkonspirasi dengan orang yang telah memohon kad tersebut.

“Mohd Abdullah”, yang Albert rujuk sebagai Penipu No. 2, memberitahunya terdapat kemungkinan akaun banknya (dengan bank lain) juga digodam dan meminta nama pengguna dan kata laluan akaunnya.

Albert kemudian menyedari bahawa dalam keadaan seperti dipukau, beliau mendedahkan maklumat itu.

Itu adalah kesalahan kelimanya.

Pesara itu berkata beliau selalu mengingatkan dirinya supaya tidak mendedahkan kedua-dua maklumat itu kepada sesiapa pun, tetapi beliau masih tidak dapat memahami apa yang membuatkan beliau melakukannya pada hari itu.

Beliau berkata Penipu No. 2 memberitahunya bahawa akaunnya digodam pada jam 6.40 pagi dan had pemindahan dana dinaikkan kepada RM30,000 dan terdapat satu percubaan yang tidak berjaya dilakukan untuk memindahkan RM10,000.

Albert berkata memanglah tidak akan boleh memindahkan RM10,000 kerana akaunnya ketika itu hanya mempunyai lebih RM4,000 sahaja.

“Dia memberitahu saya bahawa dia dapat menyekat akaun saya daripada sebarang cubaan penggodaman. Ketika kami bercakap, saya dapat mendengar ketukan papan kekunci komputer.

“Saya menjadi curiga dan mula merasakan ia satu penipuan apabila percakapan bahasa Melayu Mohd Abdullah ini berubah di tengah perbualan kepada pelat Cina, yang menunjukkan kepada saya bahawa terdapat lebih daripada seorang di talian,” kata Albert.

Tidak lama kemudian, katanya, penipu itu memintanya memeriksa sama ada telah menerima sebarang pesanan SMS.

“Memang betul, ada pesanan daripada bank saya yang menyatakan TAC (kod kebenaran transaksi) untuk pembayaran RM4,000 kepada syarikat tertentu.

“Penipu ini meminta saya supaya membacakan kepadanya apa sebenarnya yang terdapat dalam SMS sehingga dia dapat ‘menyekat pembayaran’. Ingat, dia telah mempersiapkan saya lebih awal untuk perbualan ini. Semua ini berlaku begitu pantas sehingga tidak ada masa untuk berfikir. Saya seperti seekor ikan yang terkena umpan dan ditarik dengan pantas. Tetapi saya berusaha untuk tenang.

“Dan saya tidak akan melakukan kesalahan keenam saya. Saya bertanya kepadanya berulang kali adakah dia sebenarnya dari Bank Negara, yang dijawabnya dengan tegas. Saya memberitahunya bahawa saya akan meminta bank saya mengendalikan perkara itu mulai sekarang dan terus memutuskan talian.

“Saya kemudian segera memaklumkan bank saya supaya menyekat kemudahan transaksi dalam talian akaun saya,” katanya.

Albert berkata beliau tidak melaporkan perkara itu kepada polis kerana tidak berlaku kehilangan wang dan lebih-lebih lagi, polis sangat sibuk dengan kes penipuan seperti itu.

“Saya ingin berkongsi pengalaman saya supaya orang lain mengetahui satu cara bagaimana penipuan dijalankan dan dapat mengambil langkah berjaga-jaga.

“Saya ada terbaca bahawa berkongsi pengalaman penipuan anda dengan ahli keluarga dan rakan adalah antara cara terbaik mengelaknya kerana penipu bergantung kepada orang yang berahsia. Siapa sahaja yang anda ceritakan pengalaman anda akan lebih bersedia untuk mengelak penipuan serupa di masa depan,” katanya.

Source
Harian Metro
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close