
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mempertimbangkan keutamaan suntikan vaksin COVID-19 turut diberikan kepada mahasiswa yang akan kembali ke kampus secara besar-besaran pada Mac ini.
Perkara itu dikemukakan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) yang turut mengemukakan lima cadangan lain.
Presiden KMUM, Muhammad Haziq Azfar Ishak, berkata pemberian vaksin itu perlu mengikut keadaan dan kesesuaian semasa berdasarkan analisis keperluan.
Pada masa sama, katanya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan bantuan Kementerian Kesihatan (KKM) juga perlu menyediakan kemudahan ‘mass testing’ atau ujian meluas Antigen Rapid Test (kit RTK) untuk mahasiswa.
“Langkah itu perlu untuk pencegahan penularan wabak COVID-19 di kampus sebagai tambahan tindakan yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Muhamad Haziq berkata, KMUM turut mencadangkan wakil mahasiswa terbabit sama dalam membuat keputusan di peringkat pengurusan universiti berkaitan hal ehwal pelajar pasca COVID-19.
Katanya, pembabitan wakil mahasiswa dalam perkara itu dapat membantu menentukan mekanisme kemasukan mahasiswa ke kampus secara berfasa serta mekanisme mod pembelajaran secara hibrid seperti digariskan oleh KPT.
Beliau menambah, KMUM juga mahu keputusan bagi pengecilan kapasiti penempatan di setiap kolej kediaman, dinilai semula secara menyeluruh dan teliti.
Katanya, keputusan bagi pengecilan kapasiti penempatan di setiap kolej kediaman telah ‘mengorbankan’ dalam lingkungan 2,000 mahasiswa untuk mendapat tempat di kediaman yang disediakan IPT.
“KMUM telah menghantar satu notis bantahan kepada Timbalan Naib Canselor (HEP) pada 28 Julai 2020 lalu akibat keputusan ini. Kami menggesa sekurang-kurangnya sebahagian kapasiti dibuka tanpa kompromi kepada prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Yang turut dicadangkan, katanya, adalah pemilihan kemasukan mahasiswa ke kolej kediaman dilakukan dengan lebih telus dan inklusif.
“Dengan ketiadaan mahasiswa di kampus dalam kapasiti biasa selama hampir setahun, kriteria pemilihan ke kolej kediaman secara status quo perlu disemak semula.
“Selain itu, pemilihan kemasukan mahasiswa ke kolej kediaman juga perlu dilakukan secara telus dan inklusif agar mahasiswa yang benar-benar layak dan lebih memerlukan, mendapat tempat di kolej kediaman,” katanya.
Beliau berkata, KMUM turut mencadangkan semua pengumuman dan notis berkaitan perkara itu dikeluarkan lebih awal.
“Ini bagi memberi masa yang munasabah bagi mahasiswa mempersiapkan diri mereka, khususnya dari segi kewangan. Umum sedia maklum banyak keluarga yang terjejas kedudukan kewangannya dalam tempoh pandemik ini.
“Ia juga dapat mengelakkan kekeliruan dalam kalangan mahasiswa,” katanya menambah, dengan mengambil kira jumlah mahasiswa perlu hadir ke kampus, pengurusan universiti wajib memikirkan nasib mereka yang perlu mencari kediaman dalam kadar singkat.