Malaysia

Mangsa banjir Johor terus meningkat, 10 laluan terputus hubungan

JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 6,248 orang membabitkan 1,628 keluarga dengan 56 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tujuh daerah, setakat jam 12 tengah hari ini.

Jumlah itu meningkat mendadak berbanding hanya 5,818 mangsa daripada 1,540 keluarga, pagi tadi.

Sebanyak 10 laluan utama di negeri ini dinaiki air dengan tujuh daripadanya ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan paras air yang tinggi dan arus deras selain jambatan runtuh.

Tujuh jalan berkenaan adalah Jalan Sungai Sayong, Kota Tinggi (Jambatan Sungai Sayong); Jalan Tun Sri Lanang,Kota Tinggi; Jambatan Jalan Semanggar, Kota Tinggi manakala jambatan di Jalan Mawai Lama, Jalan Haji Suhud, Taman Muhibbah, Johor Bahru runtuh.

Selain Jalan Batu Pahat-Mersing,Kluang (Pertubuhan Peladang Negeri Johor) dan Jalan Batu Pahat-Kluang (Ladang Pelangi) turut dinaiki air, manakala tiga laluan lagi hanya boleh dilalui kenderaan berat iaitu Jalan Kluang-Mersing, Kluang (Kampung Contoh,Kahang) kerana tebing runtuh, selain dua lagi laluan masing-masing di Jalan Batu Pahat-Kluang (Ladang Paloh) dan Jalan Batu Pahat-Kluang (SMK Kahang).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata mangsa banjir terjejas diminta terus berada di PPS berikutan keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan masih turun di kebanyakan lokasi negeri ini.

Beliau berkata, Kluang masih menjadi daerah paling terjejas banjir dengan jumlah mangsa bertambah kepada 1,867 daripada 557 keluarga di 19 PPS tengah hari ini, berbanding 1,826 mangsa daripada 545 keluarga, pagi tadi.

“Mangsa banjir di Kota Tinggi turut melonjak kepada 1,125 orang daripada 256 keluarga di 14 PPS berbanding hanya 868 orang daripada 221 keluarga, pagi tadi.

“Johor Bahru pula kekal dengan seramai 2,452 orang daripada 593 keluarga di 13 PPS, berbanding hanya 690 daripada 189 keluarga ditempatkan di enam PPS, malam tadi.

“Begitu juga Kulai kekal dengan 581 mangsa daripada 156 keluarga di lima PPS pagi ini berbanding hanya seramai 99 mangsa banjir daripada 25 keluarga di dua PPS, malam tadi.

“Batu Pahat juga kekal dengan 28 mangsa banjir daripada 10 keluarga di dua PPS pagi ini, berbanding hanya tujuh mangsa banjir daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bulan, Yong Peng, malam tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hujan lebat tanpa henti sejak awal pagi kelmarin itu menyebabkan beberapa kawasan rendah ditenggelami air banjir berikutan sungai utama yang melimpah.

Banjir yang masuk hari ketiga hari ini turut mengorbankan nyawa seorang warga emas wanita, Halijah Majid,59, dari Kampung Contoh di Pekan Kahang, petang semalam, yang lemas selepas tergelincir ke dalam longkang besar di hadapan rumahnya ketika cuba keluar untuk ke PPS.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, mangsa banjir di Mersing juga meningkat kepada 189 mangsa daripada 54 keluarga di dua PPS berbanding hanya 57 mangsa banjir daripada 14 keluarga, pagi tadi.

“Mangsa banjir di Pontian pula kekal dengan enam sekeluarga di PPS Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai, sejak lewat malam tadi,” katanya.

Source
berita harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close