InfoMalaysia

Elak pembelian panik!

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi serta mampu untuk menampung keperluan secara berterusan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya menerima maklum mengenai situasi pembelian panik berlaku di beberapa kawasan di negara ini.

Katanya, situasi ini berlaku mungkin disebabkan pengumuman khas yang bakal disampaikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan esok, berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini.

“Situasi pembelian panik ini tidak sepatutnya berlaku kerana hasil pemantauan anggota Penguat Kuasa KPDNHEP mendapati bekalan barangan di semua sektor peruncitan mencukupi,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Antara barangan yang dipantau terdiri daripada gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, pensanitasi tangan dan pelitup muka.

Pemantauan 12 barang keperluan ini membabitkan 2,711 peruncit terpilih daerah (DDR),1,039 Pemborong Terpilih Daerah (DDW), 223 Pengilang Terpilih Daerah (DDM) yang merangkumi 222 Parlimen dan 576 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Alexander berkata, hasil pemantauan harian mendapati semua premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa.

Menurut beliau, situasi itu juga menyumbang kepada kestabilan dan keberadaan barangan keperluan di dalam pasaran.

Katanya, keadaan berbeza ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu apabila kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup dan memberi kesan kepada bekalan barangan keperluan di pasaran.

“Kementerian sentiasa menjalankan pemantauan secara harian keberadaan barangan keperluan pengguna di seluruh negara.

“Ia bagi memastikan barangan keperluan ini sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi di pasaran, sekali gus mampu menampung keperluan pengguna secara berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, situasi bekalan barangan di dalam pasaran adalah terkawal dan rakyat dinasihatkan untuk mengelak melakukan pembelian panik kerana ia boleh memberi kesan kepada kekurangan bekalan barangan keperluan di dalam pasaran.

Jelasnya, anggota penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negeri juga akan terus giat melakukan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan barangan keperluan terus terjamin untuk pengguna.

Source
Harian Metro
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close