
PUTRAJAYA: Malaysia hari ini menandatangani Perjanjian Pembuatan dan Pengedaran (MSA) bagi pembekalan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech BNT1262b di negara ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan hari ini, berkata majlis menandatangani perjanjian berkenaan dimeterai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, mewakili kerajaan manakala pihak Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd diwakili Pengurus Negara (Malaysia/Brunei), Luksanawan Thangpaibool.
Majlis diadakan secara maya di pejabat Menteri Kesihatan di sini, hari ini.
“Perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd membabitkan perolehan 12,799,800 dos vaksin yang akan dibekalkan mulai penghujung Februari depan, membabitkan 20 peratus populasi penduduk Malaysia dengan dua dos seorang.
“Perjanjian yang dimeterai hari ini adalah untuk fasa pertama dengan penghantaran vaksin ke seluruh Malaysia,” katanya.
Menerusi kenyataan itu, kerajaan bersetuju membuat perolehan bekalan tambahan 12.2 juta dos.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan vaksin Pfizer-BioNTech BNT1262b sebanyak 25 juta dos membabitkan 39 peratus populasi Malaysia, yang akan diterima sepanjang 2021.
Sebelum ini, BH melaporkan, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM memberi kelulusan pendaftaran secara bersyarat vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech.
Kelulusan itu diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, pada 8 Januari lalu.
Pada 15 Disember tahun lalu, Pfizer membuat permohonan pendaftaran bersyarat dengan NPRA bagi penggunaan vaksin COVID-19 yang dihasilkan syarikat itu.