JenayahMalaysia

Bekas Lans Koperal mengaku bersalah terima suapan

MOHD. Shahridhuan Zohir (tengah) dikawal pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor hari ini. -UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM: Seorang bekas polis berpangkat Lans Koperal mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan termasuk pertuduhan pilihan menerima suapan bernilai RM3,900 sejak Jun 2016.

Tertuduh, Mohd. Shahridhuan Zohir, 30, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagi lima pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai keseluruhan RM3,300 bersama anggota berpangkat konstabel percubaan, lans koperal dan koperal daripada seorang pemilik pusat urut dengan tanpa balasan yang mengetahui ada kaitan dengan tugas rasmi.

Bagi pertuduhan pilihan tertuduh yang telah diberhentikan kerja pada 19 Mac 2019 turut mengaku bersalah menerima suapan RM600 daripada individu dan tujuan yang sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu bersama rakan-rakannya dari balai sama di JJ Harmony Spa, Taman Anggerik, Semenyih dan sebuah restoran di Jalan Reko, Kajang dekat sini antara 27 Jun 2016 hingga 4 Februari 2017.

Bagi kesemua pertuduhan, Mohd. Shahridhuan didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit bersalah boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mohd. Shahridhuan didakwa melakukan semua perbuatan itu ketika menjawat pangkat Lans Koperal di Balai Polis Komuniti Bandar Teknologi.

Pegawai Pendakwa, Tuan Attfina Tuan Kamaluddin menawarkan wang jaminan  RM35,000 bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan terhadapnya dikurangkan berikutan dia tidak lagi bekerja sejak diberhentikan sebagai anggota polis.

Hakim Yang Zaimey menetapkan ikat jamin RM5,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Februari hadapan sebagai tarikh jatuh hukum serta fakta kes. 

Source
Utusan Malaysia
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close