Semua taman awam, rekreasi di Wilayah Persekutuan dibuka semula

KUALA LUMPUR: Semua taman awam dan rekreasi di seluruh Wilayah Persekutuan akan dibuka semula kepada orang ramai namun dengan kawalan ketat.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata mereka yang mengunjungi taman awam berkenaan tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti berkumpulan seperti senam robik.
Beliau berkata, aktiviti perniagaan juga tidak dibenarkan beroperasi manakala orang ramai yang berkunjung ke kawasan itu mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Pengumuman DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) menutup semua taman awam, kita dapat maklum balas penutupan tidak semestinya selari dengan keputusan MKN (Majlis Keselamatan Negara), seperti riadah secara bersendirian masih dibenarkan.
“Selepas menimbang semula, kita memutuskan taman awam DBKL hendaklah dibuka tetapi dikawal selia, SOP mesti dipatuhi.
“Lazimnya, apabila taman dibuka, ada kumpulan buat riadah dan berkelah, namun ia tidak pula menghalang aktiviti lain dibuka untuk digunakan orang awam selagi ia tidak bertentangan dengan SOP KKM (Kementerian Kesihatan),” katanya menerusi FB Live beliau, hari ini.
Annuar memaklumkan, semua premis serta kedai cermin mata yang beroperasi di Wilayah Persekutuan juga dibenar membuka perniagaan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kedai cermin mata yang awal dulu termasuk dalam (perniagaan yang) tidak boleh dibuka, adalah diputuskan selepas MKN berpuas hati, kedai cermin mata boleh beroperasi sebagai sebahagian khidmat yang diperlukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kementeriannya akan melancarkan Program MY5 1 Februari depan dalam usaha menjamin kehidupan yang lebih berkualiti kepada masyarakat di Wilayah Persekutuan khususnya penghuni di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Katanya, satu pendekatan baharu akan diperkenal di bawah program itu iaitu MyBeras di mana golongan memerlukan termasuk asnaf akan diberikan bantuan beras secara percuma dan ia akan bermula sepanjang PKP ini.
“Mereka yang ingin mendapatkan beras ini boleh memohon kupon dari majlis penduduk. MyBeras ini diperoleh hasil sumbangan saya sendiri, sumbangan yayasan dan kementerian serta orang awam yang ingin membantu,” katanya.