
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham terus mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berdisiplin dan mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi dalam usaha membendung jangkitan COVID-19 di negara ini.
Menerusi status di Facebook yang dimuat naik lewat malam tadi, Dr Noor Hisham berkata virus itu cepat merebak dan menjangkiti dalam masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, kedudukan mahupun darjat.
“Sila duduk di rumah dan jika terpaksa keluar patuhilah segala SOP (prosedur operasi standard,” katanya yang juga menyertakan tanda pagar #KitajagaKita.
Menerusi kenyataan itu juga, Dr Noor Hisham menyertakan data pergerakan 14 hari taburan kes COVID-19 mengikut daerah di negara ini setakat semalam.
Sebanyak 39,736 kes baharu direkodkan dalam tempoh berkenaan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, Selangor kekal mencatatkan jumlah kes jangkitan tertinggi iaitu 13,587 kes, diikuti Sabah (5,933), Johor (4,997), Kuala Lumpur (4,669), Pulau Pinang (2,404), Negeri Sembilan (1,414)
Sarawak pula merekodkan 1,342 kes jangkitan, manakala Kelantan (1,278), Kedah (1,000), Perak (884), Melaka (785), Terengganu (480), Pahang (420), Putrajaya (310), Labuan (170)
dan Perlis 63 kes.
Dalam tempoh berkenaan juga, hanya Sarawak merekodkan kawasan zon hijau iaitu di sembilan daerah membabitkan Mukah, Lundu, Lawas, Tatau, Bau, Daro, Matu, Song dan Saratok.