Lebih baik Olimpik Tokyo dibatalkan – Zolkples

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) diharap membuat ‘keputusan segera’ mengenai penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas terdapat kemungkinan mengenai pembatalan temasya berkenaan meskipun Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga bertekad meneruskannya di sebalik pandemik COVID-19 yang terus membelenggu dunia.
Sukan Olimpik Tokyo sepatutnya berlangsung tahun lalu namun disebabkan COVID-19, temasya empat tahun sekali itu terpaksa ditunda ke Julai 2021 tetapi disebabkan situasi penularan yang belum reda, isu penganjurannya sekali lagi menimbulkan tanda tanya.
Justeru, mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong, menggesa IOC segera mengadakan perbincangan bersama kerajaan Jepun seterusnya membuat satu keputusan muktamad memandangkan ia membabitkan soal keselamatan dan kesihatan ramai.
“Kita tak tahu mana satu berita yang betul tetapi bagi saya, masa sudah suntuk. Masa semakin suntuk dari tahun lalu dan sekarang sudah memasuki tahun baharu, bulan ke bulan, situasi (COVID-19) tetap tidak berubah, makin teruk.DISYORKAN UNTUK ANDA
“Jadi, bagi saya lebih baik dibatalkan. Buat satu keputusan supaya orang tidak tertanya-tanya, tertunggu-tunggu. Jepun sudah tentu seboleh-bolehnya mahu menganjurkan kerana mereka sudah lama melakukan persiapan dan banyak mengeluarkan kos.
“Namun seperti saya katakan, ini membabitkan soal kehidupan, masa depan, survival manusia, bukan saja atlet, pegawai, jurulatih, pentadbir sukan malah penonton juga. Apabila sudah jadi begini (COVID-19), sukan ini sudah jadi tidak begitu penting, sukan bukanlah satu kewajipan dan ia satu bidang sosial saja,” kata Zolkples.
Semalam, Suga bertekad untuk terus melangsungkan Olimpik Tokyo ketika penganjur menepis laporan yang mendakwa ada pegawai tertinggi memikirkan bahawa pembatalan tidak dapat dielakkan.
Suga menegaskan bahawa temasya yang dijadualkan semula itu berada di landasan sebenar selepas The Times melaporkan sumber kerajaan yang tidak dinamakan, berkata Jepun sudah mula menukar fokus mereka kepada penganjuran 2032.
Zolkples dalam pada itu berkata, terdapat beberapa kemungkinan yang boleh menghilangkan ‘seri’ temasya berkenaan sekiranya ia terus dilangsungkan dalam keadaan pandemik yang belum reda.
“Bagi saya, sekiranya diteruskan, yang pertama, bolehkah dipastikan semua atlet mengambil bahagian? Mungkin Jepun boleh tetapi bagaimana dengan negara peserta lain? Sesetengah negara teruk, (contoh) seperti Brazil, orang ingin melihat pasukan bola sepak ataupun bola tampar mereka.
“Tetapi bayangkan sekiranya Brazil tidak mengambil bahagian dalam bola sepak ataupun bola tampar, maka kurang meriah… (temasya) seperti tidak lengkap. Jadi bagi saya, kalau diteruskan pun, belum pasti kemeriahannya.
“Keduanya, atlet yang mengambil bahagian, adakah cukup persediaan mereka? Kalau kita lihat kepada negara kita sendiri pun macam-macam masalah dihadapi, ada yang kena kuarantin dan sebagainya. Jadi (persiapan) tidak sempurna. Kalau ambil bahagian pun, kita tak boleh mengharapkan prestasi terbaik daripada mereka.
“Kalau tak ada prestasi terbaik, jangan kita mengharapkan adanya rekod baharu dan sebagainya kerana daripada perspektif ramai, orang nak tengok rekod baharu. Ini semua tidak akan menjadi seperti Olimpik sebelum ini,” katanya.