
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyedari adanya dakwaan tersebar dalam kalangan sindiket perjudian kononnya Bukit Aman memberi ‘lampu hijau’ untuk mereka beroperasi semula di seluruh negara.
Fitnah jahat tersebar sejak hujung tahun lalu itu dipercayai bertujuan menakut-nakutkan pegawai dan anggota polis yang hendak melakukan sebarang serbuan dan operasi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata dakwaan tidak berasas itu turut menyatakan semua premis perjudian boleh membuka kembali operasi mereka menjelang pertengahan bulan ini atau sebelum Tahun Baharu Cina.
“Saya tegaskan di sini, ungkapan kononnya Bukit Aman sudah beri ‘lampu hijau’ untuk mereka (sindiket) beroperasi semula adalah satu fitnah jahat.DISYORKAN UNTUK ANDA
“Saya sudah ingatkan semua pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) supaya berani ambil tindakan ke atas mana-mana tauke judi yang selama ini memporak-perandakan kehidupan orang ramai,” katanya kepada BH hari ini.
Abdul Hamid berkata, beliau amat menghargai usaha berterusan pegawai dan anggotanya dalam membanteras sebarang bentuk sindiket perjudian, selain menyokong tindakan di bawah undang-undang Akta Pencegahan Jenayah (POCA).
“Saya juga mengesyorkan tindakan ‘Persona Non Grata’ terhadap mana-mana warga asing yang terbabit dengan kegiatan itu dan perkara ini akan dipanjangkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia.
“Pendekatan holistik ini amat perlu kerana tabiat berjudi sebelum ini sudah meresapi ribuan anak muda dan orang dewasa di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, amat menyedihkan apabila ramai dalam kalangan ‘kaki judi’ terperangkap dengan hutang dan tidak kurang juga terbabit melakukan jenayah samun, curi dan ragut untuk membiayai ketagihan berjudi.
Terdahulu, Abdul Hamid merakamkan penghargaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya yang menyerbu premis perjudian atas talian di Pandan Jaya, Ampang, malam tadi.
Dalam serbuan ke rumah kedai empat tingkat itu, seramai 12 pemain yang sedang leka berjudi dan enam penjaga premis terdiri daripada warga asing ditahan.
Ketua Polis IPD Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, dilaporkan berkata premis itu didapati beroperasi sejak dua minggu lalu dan dibuka selama 24 jam sehari ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).