MalaysiaSetempat

Airil derita kanser hati tahap tiga

KOTA BHARU: Ketika kanak-kanak seusianya bermain, Putra Airil Asraq Mohd Aqimie, 8, tidak lagi bebas bergerak kerana disahkan menghidap penyakit kanser hati.

Sehingga kini, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong, di sini, itu sudah menjalani sebanyak 16 rawatan kemoterapi bagi mematikan sel kanser di dalam tubuhnya.

Lebih menyedihkan, Putra Airil disahkan menghidap kanser hati buat kali kedua pada Oktober tahun lalu menyebabkan dia kini tidak lagi boleh berjalan dan hanya mampu mengensot.

Bagaimanapun, wajahnya tidak pernah lekang daripada mengukir senyuman, sekali gus menyembunyikan penderitaan yang dialami.DISYORKAN UNTUK ANDA

Ibunya, Nurul Asyikin Razak, 32, berkata anak sulung daripada tiga beradik itu hanya sempat bersekolah dua bulan, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

“Walaupun kini perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), namun saya tidak pernah memaksanya dan pada masa sama, guru-gurunya juga memahami situasi serta kesihatan Airil pada ketika ini.

“Dalam keadaannya sekarang, saya tidak mahu beri tekanan kepada Airil dan jika dia berasa sihat dan mahu mengikuti PdPR saya akan menemaninya menyiapkan tugasan sekolah hingga selesai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedai Mulong.

Beliau berkata, anaknya itu kini perlu mengikuti rawatan kemoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian tiga kali sebulan bagi mematikan sel kanser.

“Setiap kali selepas selesai menjalani rawatan kemoterapi, badan Airil akan menjadi lemah serta lesu dan kesan daripada itu berat badannya juga semakin menyusut dan kini hanya seberat 17 kilogram.

“Ibu mana yang sanggup melihat anak sekecil itu menanggung derita, namun saya dan suami, Mohd Aqimie Zulkifli, 37, sedaya upaya berusaha memastikan apa saja ikhtiar yang dapat diberikan asalkan kanser itu dapat dipulihkan,” katanya.

Nurul Asyikin berkata, anaknya sebelum ini sudah disahkan bebas daripada kanser hati tahap dua pada 2017, namun tahun lalu dia tidak menyangka perubahan pada anaknya yang sering mengadu sakit di bahagian sendi, menjadi petanda sel kanser kembali menyerang.

“Selama sebulan anak saya mengadu sakit di bahagian sendi, sebelum saya dan suami bawa Airil ke HUSM Kubang Kerian mendapatkan rawatan lanjut.

“Doktor terpaksa mengambil air tulang belakang dan biopsi di bahagian kaki kirinya dan hasil keputusan yang diperoleh mengesahkan Airil sekali lagi menderita penyakit kanser hati tahap tiga,” katanya memberitahu anaknya itu mula disahkan menderita penyakit berkenaan sejak berusia dua tahun sembilan bulan.

Katanya, pada Oktober tahun lalu juga dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai jururawat di sebuah klinik swasta untuk memberi sepenuh perhatian kepada anaknya.

“Kini, hanya suami yang bekerja mencari rezeki untuk kami lima beranak dengan pendapatan yang tidak menentu sebagai mekanik,” katanya.

Source
bharian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close