
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang laporan terdapat laman sesawang kerajaan yang digodam setakat ini selepas ancaman dibuat kumpulan penggodam Anonymous Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata pihaknya melalui Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan kegiatan seumpama itu dapat dibendung.
Beliau berkata sekiranya tindakan penggodaman tersebut dilakukan dengan niat untuk mensabotaj sistem keselamatan negara, siasatan akan dilaksanakan mengikut Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan penjara sehingga 15 tahun.
“Sekiranya terdapat laporan polis berkenaan kegiatan sebegini (menggodam), siasatan juga boleh dilaksanakan di bawah Seksyen 4 atau Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Kumpulan penggodam itu membuat ancaman menerusi satu klip video yang tular di platform media sosial baru-baru ini.