Covid-19Malaysia

Kluster Penjara Kepayan masih aktif di Sabah

KOTA KINABALU: Kluster Penjara Kepayan, di sini adalah antara 45 kluster COVID-19 yang dikenal pasti masih aktif dan merekodkan kes baharu di Sabah.

Kluster membabitkan banduan yang ditahan di penjara berkenaan setakat ini mencatat 1,900 kes dan disenarai antara tiga kluster menyumbang kes tertinggi di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata dua lagi ialah Kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau dan Kluster Benteng Lahad Datu yang sudah tamat, masing-masing merekodkan 1,168 kes dan 827 kes.

“Sehingga semalam, Sabah merekodkan 134 kluster COVID-19, yang mana 45 kluster masih aktif, manakala 89 kluster sudah tamat. Secara kumulatif, terdapat 14,200 kes positif COVID-19 dalam 134 kluster yang didaftarkan ini,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.DISYORKAN UNTUK ANDA

Kluster Penjara Kepayan sebelum ini pernah merekodkan kes harian yang tinggi mencapai tiga angka hingga memaksa pihak berkuasa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berlanjutan selama sebulan pada Oktober lalu.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, berkata setakat ini sebanyak 48 kes import positif COVID-19 dari negara luar dilaporkan di negeri ini dengan kes tertinggi membabitkan individu dari Filipina.

Katanya sebanyak 16 kes import dilaporkan dari Filipina, diikuti Indonesia (15), empat kes masing-masing dari Pakistan dan Thailand, United Kingdom (tiga kes), China dan India (masing-masing dua kes) serta satu kes dari Arab Saudi dan Vietnam.

Semalam, Sabah mula menunjukkan penurunan kes positif COVID-19 apabila merekodkan 295 kes baharu berbanding antara 300 hingga lebih 400 kes sebelum ini menjadikan kumulatif setakat ini sebanyak 47,737 kes.

Bagaimanapun, ada satu kematian iaitu di Putatan selain satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Sulaman membabitkan pekerja sebuah pasar raya di Jalan Sulaman, di sini, dicatatkan semalam.

Kes sembuh pula menunjukkan peningkatan dengan seramai 419 pesakit semalam, menjadikan kumulatif sembuh setakat ini seramai 43,628 orang.

Masidi berkata, seramai 2,618 pesakit masih menerima rawatan iaitu 772 orang di hospital, 1,844 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam serta dua orang di PTS dan penjara.

“Bilangan pesakit COVID-19 dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) pula ialah 95 orang dengan 26 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Source
bharian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close