Covid-19Malaysia

PKP 2.0 dilanjutkan sehingga 18 Februari ini – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 selama dua minggu lagi mulai 5 hingga 18 Februari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penilaian risiko dari Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan kes positif Covid-19 menunjukkan trend peningkatan di seluruh negara, kecuali Sarawak.

Berikutan itu juga, katanya, rentas negeri dan aktiviti sosial masih tidak dibenarkan, kerana rekod menunjukkan peningkatan kes positif berpunca dari dua aktiviti itu.

“Dalam tempoh PKP Bersyarat (PKPB) sebelum ini, kita melonggar peraturan dengan membenarkan rentas negeri dan daerah. Hasil daripada kelonggaran itu, menyaksikan peningkatan kes positif secara mendadak.

“Justeru, dalam pelaksanaan PKP 2.0 ini, kita tidak akan melonggarkan peraturan, malah mengekalkan larangan rentas negeri dan aktiviti sosial sehingga keadaan reda mengikut hasil penilaian risiko KKM,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengeluarkan kenyataan membayangkan PKP 2.0 ditamatkan sebaik habis tempohnya 4 Februari ini, dan digantikan dengan PKPB menerusi peraturan serta SOP yang ketat.

Bagaimanapun, dalam mesyuarat khas hari ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM menunjukkan kes harian di semua negeri masih menunjukkan trend peningkatan dengan kadar positif klusteri 20 hingga 40 peratus melibatkan warganegara dan bukan warganegara.

Sehubungan itu, ura-ura PKP 2.0 tamat esok tidak menjadi kenyataan, malah dilanjutkan lagi selama dua minggu sehingga 18 Februari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri menyatakan, dalam menangani pandemik Covid-19 dan PKP, KKM dan MKN membentangkan pelan strategi masing-masing bagi memutuskan rantaian wabak itu.

Kata beliau, KKM menggariskan lima strategi, manakala MKN membentangkan 10 strategi dengan perinciannya akan dimaklumkan oleh KKM.

Mengenai permohonan sektor perniagaan agar kerajaan memberi kelonggaran, beliau menyatakan, memang banyak rayuan diterimanya.

Jelasnya, MKN dan KKM akan meneliti setiap permohonan itu dan akan dikemukakan dalam mesyuarat teknikal bersama agensi dari kementerian berkaitan untuk diperinci dan ditentukan keputusannya.

“Permohonan yang kita terima itu termasuk kedai mencuci kereta, kedai gunting rambut, salon dan sebagainya. Kita tidak tolak begitu saja permohonan dan rayuan ini, kita akan teliti dan kaji,” katanya. – MalaysiaGazette

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close