
Tahun Baharu Cina kali ini disambut sederhana. Makan besar, ziarah-menziarahi dan bertukar angpau semuanya terpaksa dilakukan dalam keadaan norma baharu.
Kalau dahulu, makan besar diraikan di restoran kegemaran, kini hanya disambut kecil-kecilan di rumah. Ziarah-menziarahi yang amat ditunggu-tunggu, kini menjadi sebaliknya.
Kalau dahulu angpau diberikan terus ke tangan anak-anak, kini masuk ke akaun mereka melalui pindahan wang. Begitulah norma baharu dek penangan COVID-19.ADVERTISING
Sejauh mana pun mencabarnya pandemik, Tahun Baharu Cina tetap diteruskan walau dalam aura berbeza.DISYORKAN UNTUK ANDA
- Ipin, Max gaul Yee Sang bersama pengunjung THLL
- Dodi dan Dodo “meriahkan” sambutan Tahun Baharu Cina
- Raikan sambutan Tahun Baharu Cina dengan aura positif
- 3 kaum bersama sambut Tahun Baru Cina
Realitinya, kita akan melihat aura merah mewarnai kad atau emoji diedar secara maya. Tidak ketinggalan iklan menarik memaparkan tarian singa, letusan mercun, makan besar, busana tradisional yang dipakai, limau mandarin dan zodiak untuk 2021 iaitu lembu jantan.
Semua ini budaya tersurat yang mudah dilihat, disentuh serta difahami kebanyakan rakyat Malaysia.
Budaya tersurat memaparkan budaya tampak sesebuah masyarakat seperti melalui makanannya, pakaian, perayaan, bahasa, muzik dan tarian.
Budaya tersirat pula bersifat abstrak dan jarang diungkapkan. Ia sangat abstrak merangkumi falsafah, konsep, nilai budaya, perasaan, sikap, kepercayaan dan pendekatan yang diamalkan.
Sebagai contoh, setiap kali Tahun Baharu Cina tiba, kita melihat zodiak berbeza, namun tidak ramai yang tahu mitosnya kerana jarang dikongsi. Mungkin ramai tidak terfikir kenapa ada tikus dalam kalendar Cina dan bukan kucing.
Semua ini sangat berkait dengan budaya tersirat yang jarang dicungkil kisahnya. Begitu jugalah makanan dihidangkan, contohnya yee sang.
Sejujurnya, tidak ramai tahu falsafah di sebalik hidangan yee sang yang melambangkan tuah, kesejahteraan, kesihatan dan perkara yang baik.
Tidak ramai juga tahu falsafah di sebalik perbuatan melambung yee sang yang mengharapkan semua orang akan murah rezeki dan mengecapi kebahagiaan melimpah ruah.
Tahun ini, prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika Tahun Baharu Cina mengundang resah. Ramai menyelar kononnya tidak peka kepada sensitiviti masyarakat Cina berkaitan acara makan besar keluarga.
Acara makan besar keluarga dimulai menjelang tibanya malam Tahun Baharu Cina. Kaum Cina sangat menitikberatkan hubungan kekeluargaan dan jamuan makan malam ini dianggap hidangan paling penting dalam setahun.
Realitinya, mendalami budaya tersirat diamal masyarakat Cina membantu merapatkan jurang perkauman, seterusnya mengelak konflik.
Dengan memerhati, meneliti dan menghargai budaya tersirat, aura keharmonian dan perpaduan antara kaum yang pelbagai di negara ini dapat dieratkan.
Semangat sambutan Tahun Baharu Cina dengan norma baharu perlu disertai pemahaman mengenai budaya, untuk mengukuhkan keharmonian kaum seperti disarankan al-Quran.
Allah SWT berfirman maksudnya, Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah Al-Hujurat, ayat 13)
Xin Nian Kuai le! Selamat Tahun Baru Cina! Jaga diri, jaga kesihatan. #KitaJagaKita.
Dr Isma Rosila Ismail
Pensyarah Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)