
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa pengeluar vaksin COVID-19 memenuhi komitmen mereka, terhadap negara termiskin yang sedang menunggu dos pertama.
Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata kemudahan COVAX iaitu usaha perolehan dan pengedaran vaksin COVID-19 global yang memastikan negara miskin mendapat akses dos berkenaan, kini sudah bersedia untuk dimulakan.
Kira-kira 336 juta dos vaksin AstraZeneca-Oxford dan 1.2 juta dos Pfizer-BioNTech dua vaskin memperoleh kebenaran WHO, dijadual mula dihantar akhir bulan ini menerusi inisiatif COVAX.DISYORKAN UNTUK ANDA
- China tawar 10 juta dos vaksin kepada COVAX
- Mengumpul vaksin hanya akan jadikan pandemik lebih teruk – WHO
- Pertikaian harga vaksin kikis keyakinan di Malaysia
- 27 negara EU rancang beri vaksin COVID-19 serentak

“Pada awal tahun, saya membuat gesaan untuk bertindak bagi memastikan vaksinasi petugas kesihatan akan dilaksanakan, di semua negara dalam tempoh 100 hari pertama tahun ini,” katanya pada sidang media.
“Hari Jumaat menandakan titik separuh jalan dan kami membuat kemajuan tetapi kami belum mencapai sasaran.
“Dengan penyenaraian penggunaan kecemasan dua versi vaksin AstraZeneca minggu ini, COVAX bersedia melancarkan vaksin dan sedang menunggu komitmen baik beberapa pengeluar,” katanya pada sidang media.
Pada Isnin, WHO memberi kebenaran untuk vaksin AstraZeneca yang dihasilkan di kilang terletak di India dan Korea Selatan yang bermaksud kini, penghantaran boleh dilakukan melalui COVAX.
Kemudahan itu akan mengeluarkan senarai pengedaran terakhir untuk gelombang penghantaran pertama pada minggu depan.
Dos pertama akan dihantar pada akhir bulan ini, dengan jumlah yang besar pada Mac.
Sebanyak 145 negara ditetapkan akan menerima dos mencukupi, bagi tujuan imunisasi 3.3 peratus populasi kolektif pada pertengahan 2021.
Pada sidang akhbar, Dr Tedros mengatakan negara di Eropah membuat perjanjian sendiri dengan pengeluar bertujuan untuk program vaksinasi kira-kira 70 peratus populasi mereka dalam jangka masa sama. – AFP