Jangan lakukan pembakaran terbuka

KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka terutamanya di kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tanah gambut serta tapak pelupusan sampah pada musim cuaca panas dan kering yang melanda negara sekarang.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan, berkata selain pembakaran terbuka, pelepasan daripada aktiviti perindustrian, aktiviti kerja tanah dan asap kenderaan bermotor turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara negara.
“Sebagai persediaan mendepani cuaca panas dan kering, saya mengingatkan semua pihak supaya tidak mencemarkan udara dengan melaksanakan langkah-langkah mencegah pembakaran terbuka.
“Pengguna jalan raya juga hendaklah memastikan kenderaan diselenggara dengan baik, atau menggunakan kenderaan awam.DISYORKAN UNTUK ANDA
- Langkah baharu atasi pembakaran terbuka di Johan Setia – Palanivel
- Pembakaran terbuka: JAS kompaun serta-merta
- JAS aktifkan dua pelan tindakan atasi jerebu
- Henti pembakaran terbuka elak jerebu setiap tahun
“Ini bagi mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya sebagai usaha untuk memastikan kualiti udara negara sentiasa berada pada tahap yang baik,” katanya.
Katanya, Kementerian Alam Sekitar dan Air melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan.
“Prosedur operasi tetap (SOP) bagi melaksanakan Program Pencegahan Kebakaran di tanah gambut juga sudah diaktifkan sejak 9 Februari lalu.
“Selain itu, aktiviti penguatkuasaan akan dipertingkatkan dan tindakan yang lebih tegas akan diambil untuk menangani isu pencemaran udara yang menyebabkan kemerosotan kualiti udara dan jerebu tempatan yang boleh menjejaskan kesihatan awam,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pencemaran alam sekitar seperti yang tertakluk di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut dengan taburan hujan akan berkurangan menyebabkan keadaan cuaca panas dan kering dan dijangka berterusan hingga pertengahan bulan hadapan.
Dalam tempoh itu,taburan hujan akan berkurangan di seluruh negara yang akan menyebabkan keadaan cuaca panas dan kering terutamanya di utara Semenanjung iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang, pedalaman Pahang, utara Perak, utara Terengganu dan utara Kelantan.
Dalam pada itu, orang ramai disarankan supaya mengambil beberapa langkah ketika menghadapi tempoh cuaca dan kering termasuk mengamalkan penjimatan dalam penggunaan air, minum air dengan secukupnya dan mengurangkan aktiviti luar.
Orang ramai juga disarankan supaya tidak melakukan kesalahan yang menyebabkan berlakunya pencemaran udara untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.
Selain itu, kementerian berharap orang ramai melaporkan kes-kes pencemaran kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol : 1-800-88-2727 atau melalui e-aduan di eaduan@doe.gov.my.