‘Tak beli banyak, bimbang sekolah ditutup lagi’

JOHOR BAHRU: Golongan ibu bapa mula membuat persiapan membeli pakaian dan peralatan anak hari ini, susulan pengumuman pembukaan sesi persekolahan, awal bulan depan.
Pegawai pengurusan pejabat, Zainab Hassan, 33, memilih untuk membeli pakaian baharu buat anak sulungnya, Muhammad Lutfy Mohd Fuad, yang memasuki Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Melati, di sini.
“Anak saya bersemangat nak ke sekolah sebab tahun lalu tadika hanya beberapa bulan sebelum ditutup akibat pandemik COVID-19.
“Baju sekolah, seluar, stokin, kasut dan peralatan persekolahan lain sudah dibeli, selain buku sekolah.DISYORKAN UNTUK ANDA
- Bantuan tunai persekolahan diganti barangan
- Siapkan kerja sekolah dulu
- Waris jual pakaian sekolah murah, bantu keluarga pendapatan rendah
- 500 pelajar miskin dapat pakaian, peralatan sekolah
“Anak yang berusia lima tahun hanya memakai pakaian tadika abangnya kerana baju masih berkeadaan elok,” katanya yang ditemui ketika membuat persiapan di sebuah pasar raya di Kempas, hari ini.
Suri rumah, Nor Azilah Kasim, 39, berkata tiga anaknya hanya memakai pakaian sekolah tahun lalu yang masih dalam keadaan baik.
“Semalam sudah cuba pakaian sekolah tahun lepas, maklumlah budak cepat tinggi. Seluar anak kedua saya yang berusia 11 tahun singkat sedikit, tetapi masih muat.
“Pakaian seragam sekolah anak-anak mahal. Saya ada tiga anak bersekolah, seorang di Tingkatan Empat SMK Taman Molek, dua lagi Tahun Lima dan Tahun Dua di SK Taman Molek.
“Pakai apa yang ada sahaja. Kalau yang memang tak muat seperti kasut, saya beli sepasang dulu sebab risau kalau beli banyak, tiba-tiba sekolah tutup lagi sebab COVID-19,” katanya.