
KATHMANDU: Kerajaan Nepal mengusulkan undang-undang baharu menghendaki wanita meminta kebenaran daripada penjaga lelaki sebelum mereka dapat melakukan perjalanan ke negara Teluk atau Afrika.
Undang-undang yang diusulkan awal bulan ini ditujukan kepada wanita di bawah usia 40 tahun yang ingin pergi ke negara berkenaan untuk bekerja, atas urusan perniagaan atau bercuti.
Kerajaan menegaskan bahawa undang-undang itu dapat mencegah pemerdagangan dan penganiayaan terhadap wanita.
Jurucakap Jabatan Imigresen, Teknarayan Poudel, berkata undang-undang itu diusulkan untuk memerangi pemerdagangan wanita, penganiayaan dan kejahatan terhadap wanita dan dapat membantu mereka ketika menghadapi masalah di luar negara.DISYORKAN UNTUK ANDA
- Lubnan mansuh undang-undang bebas perogol kahwini mangsa
- Undang-undang ketat wanita berani buat laporan
- Penduduk Perancis bantah undang-undang pro-IVF untuk wanita bujang, lesbian
- Dr Raj aktif bantu kerajaan banteras isu pemerdagangan manusia
“Ia juga membantu dalam menyimpan rekod di peringkat kerajaan dan menguruskan perjalanan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, undang-undang itu menimbulkan kecaman besar dalam kalangan wanita dan aktivis hak asasi manusia, yang menyatakan ia melanggar hak wanita Nepal dan mencerminkan pemikiran kuasa lelaki di negara itu.
Mereka juga mengingatkan bahawa ia memaksa wanita untuk terbabit dalam pekerjaan yang lebih berisiko yang tidak berdokumen, seterusnya meningkatkan bahaya pemerdagangan dan penyalahgunaan.
Pada 12 Februari lalu, ratusan wanita berkumpul di Maitighar Mandala, sebuah monumen di Kathmandu, untuk membantah undang-undang yang dicadangkan itu.
Mohna Ansari, bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nepal, berkata wanita mempunyai hak yang sama seperti lelaki.
“Undang-undang ini bertentangan dengan perlembagaan dan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW),” katanya.
Selama beberapa dekad, pemerintah Nepal mengenakan sekatan terhadap wanita yang melakukan perjalanan ke negara Teluk dalam usaha untuk mencegah eksploitasi.
Pada 2017, ia melarang warga negara itu pergi ke negara Teluk dan bekerja sebagai pembantu rumah. – AFP