
SEBANYAK 16 tiang untuk menyokong keseluruhan struktur dan seni bina tradisional Rumah Bumbung Panjang Perabung Lima berusia hampir setengah abad ini serba unik.
Teratak diberi nama Rumah Tiang 16 (RT16) terletak di Kampung Kubang Jambu Lenggong, Perak dibina pada 1974 itu kini dijadikan Tapak Warisan Dunia (TWD).
Simboliknya pembinaan RT16 turut menjadi platform mengetengahkan ‘permata warisan’ di Lenggong sebagai tarikan pelancongan.
Justeru, Heritage Stay by Rumah Tiang 16 – Inap Warisan oleh Rumah Tiang 16 (IWRT16) dilancarkan Ogos 2019 dan tersenarai dalam peta pelancongan TWD Lembah Lenggong.DISYORKAN UNTUK ANDA
- Nama Lenggong daripada balak tersandar di pokok lain
- Chinatown papar sejarah Cina Singapura
- Industri pembuatan sarung keris ‘bangkit’ di era moden
- Mencari damai di Pantai Mangkuk

Abdul Nasir Jalaludin yang mewarisi rumah tinggalan bapanya, Allahyarham Jalaludin Che’ Man, berkata matlamat itu sesuai dengan hasratnya untuk kembali ke kampung kelahirannya selepas beliau enam beradik berpindah ke Ipoh sejak 1981.
Namun, pada hujung 2017 beliau kembali menginap di situ dan teruja apabila rumah berkenaan mendapat pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai WTD.

Katanya, RT16 lokasi strategik dikelilingi beberapa destinasi pelancongan menarik seperti gua batu kapur, tasik, lata air terjun, kampung tradisional sarat dengan monumen bersejarah, makanan tradisional dan pelbagai lagi.
Rumah menggamit nostalgia
Mengulas lanjut mengenai rumah ini, katanya, ruang anjung ditukar menjadi beranda.
Dari pandangan sisi seperti rumah kutai, tetapi dibuat dua tingkat bagi menampung keluarga besar.
Lengkap ruang tamu atas dan bawah, dapur, makan, bilik solat, tiga bilik tidur, dua bilik air dan bilik bacaan, identiti RT16 lebih terserlah dengan koleksi perabot, dan perhiasan klasik dan retro begitu menggamit nostalgia.

Rumah ini diperbuat daripada kayu cengal mas, merbau dan kemuning kelihatan tersergam indah berciri penempatan tradisional.
Bahagian bawah rumah ini berdindingkan batu konkrit separuh berdindingkan kayu, manakala tingkat atas dibina dengan menggunakan kayu sepenuhnya serta diperkemaskan dengan ukiran.
Menginap di sini rasa benar-benar dalam suasana tenang dan permai.
Dilengkapi balkoni dan pemandangan taman saujana mata memandang.
1001 keistimewaan

Katanya, daerah ini banyak tarikan dengan penemuan artifak arkeologi bertaraf dunia, keunikan kebudayaan setempat berakar susur galur masyarakat Pattani, kekayaan flora dan faunanya serta 1001 keistimewaan lain.
“Melalui RT16 ini, saya berhasrat mengetengahkan Lenggong sebagai destinasi pilihan merangkumi semua aspek, terutama penemuan arkeologi, antropologi dan biodiversiti serta melihat budaya masyarakat setempat dan Pattani,’ katanya.
Gaya hidup atau ‘living heritage’ dapat memberi pulangan ekonomi kepada penduduk setempat, khususnya bidang seni kraf, selain makanan tradisional.
Sejak tahun lalu, melalui RT16 memberi fokus kepada tema ‘Cross-Culture Stay Experience’ untuk etnik bukan Melayu merasai cara hidup orang Melayu di dalam rumah kayu tradisional.
“Saya lancarkan pakej tiga hari dua malam (3H2M) Heritage Stay By Rumah Tiang 16, mengetengahkan beberapa program sangat menarik,” katanya.
Sejak pelancaran ramai rakyat pelbagai kaum dan lebih 25 pelancong asing termasuk dari Amerika Syarikat, Australia, China dan Eropah merasai pengalaman menginap dan lawatan di Lenggong menyertai pelbagai aktiviti disediakan.
Justeru katanya, bagi mereka yang ingin menikmati pakej 3H2M boleh mendapatkan maklumat di www.rumahtiang16.com atau Facebook dan Instagram Rumah Tiang 16.
