MalaysiaPolitic

Ahmad Zahid terima cek RM6 juta

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima dua keping cek berjumlah RM6 juta daripada Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad (DGB), Chew Ben Ben dan menyerahkannya kepada Tetuan Lewis & Co.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Hizar Farhan Abdul Razi, 32, berkata dua cek berkenaan diserahkan Ben Ben kepada Ahmad Zahid di kediaman rasmi bekas Timbalan Perdana Menteri itu di Seri Satria, Putrajaya pada 2017.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa Lewis & Co ialah pemegang amanah bagi Yayasan Akalbudi, milik Ahmad Zahid.

Berdasarkan pertuduhan ke-14 dan 15, Ahmad Zahid didakwa menerima dua suapan berjumlah RM6 juta daripada Ben Ben sebagai upah melantik syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB), melaksanakan projek cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman Biodata Polycarbonate Pasport Malaysia, untuk Jabatan Imigresen secara rundingan terus di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).DISYORKAN UNTUK ANDA

Mohd Hizar Farhan berkata, cek berkenaan diperoleh daripada Ben Ben selepas berlaku masalah kekurangan bekalan pasport pada 2016 yang DTSB dianugerahkan dengan kontrak pembekalan cip pasport berkenaan, pada 2015.

“Chew Ben Ben dipanggil untuk berjumpa dengan tertuduh (Ahmad Zahid) pada 16 September 2016 untuk memberikan penerangan kepada Ahmad Zahid tentang masalah kekurangan bekalan pasport ini.

“Beberapa bulan kemudian iaitu pada pertengahan April 2017, Chew Ben Ben sekali lagi dipanggil untuk berjumpa tertuduh di kediaman rasminya di Seri Satria, Putrajaya dan pada perjumpaan (hujung April 2017), Chew Ben Ben menyerahkan dua keping cek berjumlah RM6 juta kepada tertuduh,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya, semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Kun.

Beliau berkata demikian pada hari ke-46 perbicaraan kes bekas timbalan perdana menteri itu yang menghadapi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, membabitkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi.

Saksi pendakwaan ke-91 itu juga berkata, tertuduh sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) KDN untuk mengambil tindakan ke atas surat-surat daripada DGB kepada KDN, berhubung permohonan untuk pembekalan cip berkenaan, melalui minit-minit tertuduh di atas surat-surat berkenaan.

“Lanjutan daripada arahan tertuduh, KSU KDN mengambil tindakan susulan dengan mengarahkan Setiausaha Bahagian Perolehan KDN pada masa itu, Datuk Abd Aziz Md Nor untuk memberikan ulasan dan pandangan pihak KDN kepada Kementerian Kewangan (MOF),” katanya.

“Selepas Abd Aziz menerima surat daripada Pejabat Menteri Dalam Negeri bertarikh 8 September 2014, barulah keutamaan diberikan terhadap permohonan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman Biodata Polycarbonate Pasport Malaysia.

“Selepas menerima surat daripada Pejabat Timbalan Perdana Menteri bertarikh 20 Oktober 2015, Abd Aziz mengarahkan Penolong Ketua Setiausaha Perolehan KDN untuk menyegerakan keputusan rundingan harga ke Lembaga Perolehan, agar proses pengeluaran Letter of Acceptance atau Surat Setuju Terima dapat disegerakan seperti diarahkan oleh tertuduh,” katanya dan menambah tertuduh juga Timbalan Perdana Menteri, pada ketika itu.

Ketika ditanya Gan semasa pemeriksaan semula, saksi itu bersetuju bahawa kontrak untuk membekalkan cip pasport yang diberikan kepada DTSB mengikut prosedur operasi standard yang betul.

Gan: Sekiranya tertuduh tidak bersetuju bahawa kontrak diberi kepada DTSB, adakah MOF akan menganugerahkan kontrak tersebut?

Mohd Hizar Farhan: Tidak.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit, dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – BERNAMA

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close