JenayahMalaysia

2 sahabat ditahan hantar pil ecstasy ke sempadan Indonesia

KUCHING: Seorang wanita dan rakan lelakinya yang dalam perjalanan menghantar dadah jenis pil ecstasy ke sempadan Indonesia, ditahan polis di Serian, Jumaat lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, kedua-duanya ditahan sekitar jam 5 pagi dalam sekatan jalan raya di Kilometer 30 Jalan Serian-Tebedu.

Beliau berkata, wanita berusia 38 tahun dan rakan lelakinya berusia 35 tahun mengaku menerima upah RM3,000 untuk menghantar dadah dari Kuching ke Tebedu, sebuah pekan kecil di sempadan Malaysia-Indonesia.

“Dadah itu dipercayai untuk diedarkan di Indonesia. Kedua-dua suspek mengaku ini kali pertama mereka melakukan kerja sebagai penghantar dadah atas alasan desakan hidup,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Asisten Komisioner Jasmirol Jamaluddin, hari ini.

Aidi berkata, menerusi penahanan dua suspek itu, polis menemui sejumlah 0.73 gram dadah jenis methamphetamine daripada wanita terbabit.

“Polis turut menemui 14,880 pil dipercayai pil ecstasy dengan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM267,940,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 12 Mac ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) akta sama.

“Saringan awal air kencing juga mendapati kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dan mereka turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis turut merampas kereta digunakan suspek serta wang tunai sebanyak RM500,” katanya sambil memaklumkan kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, polis turut menyalurkan maklumat kegiatan pengedaran dadah ke Indonesia itu kepada bahagian Risikan Antarabangsa Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close