Malaysia

Hampir 140,000 sudah terima suntikan vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR: Seramai 139,720 individu, kebanyakannya petugas barisan hadapan, sudah menerima suntikan pertama vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), sehingga semalam.

Angka terbaharu itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi ciapan di Twitter, berdasarkan maklumat rasmi daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Berdasarkan jumlah itu, Sarawak merekodkan penerima tertinggi dengan 22,140 individu, disusuli Pahang (14,473), Selangor (12,336), Kelantan (11,927), Sabah (11,739), Kuala Lumpur (11,267), Perak (10,678) dan Johor (10,718).

Terengganu pula merekodkan 6,932 individu menerima suntikan, sementara Kedah (6,269), Pulau Pinang (5,292), Negeri Sembilan (4,864), Melaka (4,312), Putrajaya (2,290), Labuan (2,259) dan Perlis (2,223) individu.

Berdasarkan program suntikan berkenaan yang dikeluarkan JKJAV, dua kaedah secara dalam talian ialah pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera atau laman web khas di www.vaksincovid.gov.my.

Bagi pendaftaran secara manual pula, terdapat tiga kaedah membolehkan masyarakat mendaftar iaitu dengan menghubungi talian hotline, hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Maklumat janji temu seperti tarikh dan tempat vaksinasi akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

Proses vaksinasi bagi mereka yang mendaftar secara dalam talian mahu pun manual adalah sama merangkumi 18 langkah.

Source
Malaysia GAzette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close