Malaysia

30 pelajar UiTM terpilih sertai program UiTM Unicorn Scholar

SHAH ALAM: Seramai 30 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) terpilih menyertai UiTM Unicorn Scholar Programme (USP) yang membuka peluang kepada pelajar mempraktikkan ilmu keusahawanan dalam konteks perniagaan sebenar.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni), Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad, berkata program itu bertujuan membantu meningkatkan pengetahuan praktikal dalam bidang keusahawanan serta keyakinan pelajar untuk membuka perniagaan sendiri semasa dan selepas tamat pengajian.

“UiTM USP adalah satu program elit yang dirangka khas untuk melahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang akademik, malah meningkatkan kompetensi keusahawanan pelajar, memberi peluang pekerjaan dan perniagaan dalam kalangan pelajar UiTM.

“Menerusi program ini, pelajar mendapat bimbingan terus daripada usahawan sebenar melalui kolaborasi dengan Alumni UiTM Business Network yang mana pelajar dapat khidmat permentoran dengan alumni usahawan UiTM.DISYORKAN UNTUK ANDA

“Alumni UiTM Business Network pula berperanan sebagai platform jaringan perniagaan kepada pelajar yang baru menceburi perniagaan. Ini penting bagi membentuk ekosistem sokongan kelestarian perniagaan pelajar,” katanya ketika ucapan pada Majlis Prapelancaran UiTM USP di Hotel UiTM, di sini, petang semalam.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman. Yang turut hadir, Penolong Naib Canselor (Keusahawanan), Profesor Dr Abdol Samad Nawi.

Rahmat berkata, 30 pelajar terpilih dalam program ini adalah hasil saringan daripada ratusan permohonan yang berkelayakan.

“Antara impak program ini adalah dengan penubuhan 30 syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), perniagaan sedia ada mampu meningkatkan hasil jualan minimum sebanyak 10 peratus.

“Peserta program pula mampu menjadi jurulatih perniagaan dan dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat malah pelajar yang berjaya menarik minat penaja juga berpeluang mendapatkan suntikan dana perniagaan,” katanya.

Beliau juga berharap, program itu mampu mengubah landskap keusahawanan UiTM secara menyeluruh dan melahirkan graduan bersifat kepimpinan cemerlang.

“Kita berharap graduan juga mempunyai daya semangat keusahawanan yang tinggi dan menjadi ‘Captain of Industry’ pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Mansor ketika berucap, berkata program itu bertepatan dengan usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memperkasakan agenda keusahawanan dan peningkatan kompetensi keusahawanan pelajar.

“Program seumpama ini boleh menjurus ke arah kerjasama yang bermakna di antara universiti, industri dan masyarakat selain membuka peluang kerjaya kepada pelajar serta mewujudkan sistem sokongan perniagaan kepada pelajar,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close