MalaysiaPolitic

Annuar tak bimbang dipecat

KOTA BHARU: Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak bimbang sekiranya kelantangannya menegur parti secara terbuka di media sosial menyebabkan diambil tindakan disiplin termasuk dipecat daripada parti.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu tetap mempertahankan pendiriannya apa yang beliau luahkan itu demi kebaikan parti dan mahu UMNO terus diterima rakyat.

Katanya, jika sikap keterbukaannya itu menyebabkan beliau dipecat, Ahli Parlimen Ketereh itu reda dan berharap beliau seorang dikenakan tindakan itu.

“Saya tidak bimbang apa-apa, saya hanya mahu UMNO selamat, dihormati dan disukai rakyat. Saya adalah ahli nombor 124 daripada 3.5 juta ahli.DISYORKAN UNTUK ANDA

“Saya juga seorang yang menaja menghidupkan semula UMNO baharu selepas parti itu diharamkan selain saya penarh menjadi ahli Majlis Tertinggi (MT) hampir 30 tahun.

“Macam-macam orang menyindir nak pecat saya kononnya saya tidak setia dan mahu lompat pergi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Saya nak tanya adakah mereka mampu membuktikan kesetiaan kepada parti melebihi kesetiaan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Veteran ATM Cawangan Ketereh ke-37 di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), hari ini.

Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh sebelum ini dilihat antara pemimpin UMNO yang lantang mengkritik kepemimpinan parti malah kalangan ahli parti.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, beliau lantang menegur parti kerana tidak mahu UMNO dijadikan alat kepentingan kumpulan atau individu tertentu kerana keutamaan parti ketika ini sepatutnya adalah memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, teguran yang dilakukan juga kerana tidak mahu UMNO mengulangi nasib sama seperti PRU-14.

“Berani terima kelemahan kita. Jika dulu, orang kritik kita, kita akan pecat selain mengamalkan budaya membodek pemimpin yang akhirnya menjadikan kita jatuh tersungkur.

“Maka, ambillah semua itu sebagai iktibar kerana di luar sana terdapat tujuh juta pengundi muda yang sedang menunggu saat berdaftar sebagai pengundi berusia 18 tahun.

“Orang muda mahu melihat sebuah parti yang murni perjuangannya, parti yang bersih dengan dipimpin pemimpin berintegriti. Mereka mahu lihat parti mempunyai masa depan.

“Jika kita masih bawa ‘filem’ lama yang tidak selari dengan hasrat rakyat , saya percaya kita akan ditolak oleh rakyat. Kalau sekali lagi UMNO jatuh, mungkin UMNO tidak akan bangun lagi,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close