
KUALA LUMPUR: Hak mengundi 18 tahun seperti yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada tahun 2019 perlu dilaksanakan segera sebagai pengiktirafan kepada golongan muda dalam sistem demokrasi, politik dan pentadbiran negara.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Prof Madya Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muzaffar Syah Mallow menjelaskan, pembabitan orang muda dalam proses mengundi dapat memperkasakan sistem demokrasi negara.
“Orang muda harus diiktiraf sebagai golongan boleh memilih masa depan dan hala tuju negara. Penetapan had mengundi bermula pada usia 21 tahun mencetuskan rasa tidak puas hati ramai pihak khususnya golongan muda yang mencapai usia 18 tahun.
“Apabila seseorang itu mencecah usia 18 tahun, mereka bukan lagi dianggap golongan kanak-kanak, sebaliknya orang dewasa yang mampu memikul pelbagai jenis tanggungjawab serta menentukan masa depan mereka sendiri,” kata mereka dalam kenyataan bersama, hari ini.DISYORKAN UNTUK ANDA
- Mahasiswa bersedia sertai undi 18
- Dewan Negara lulus pindaan Perlembagaan turunkan umur mengundi kepada 18 tahun
- Tanding pilihan raya usia 18 tahun, negeri disaran pinda perlembagaan
- Wan Fayshal tetap sokong daftar undi 18 tahun
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum dilaporkan berkata, pelaksanaan hak mengundi golongan 18 tahun pada Julai ini.
Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Negara pada 25 Julai 2019 dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.
Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan itu, pilihan raya pada masa depan akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon, berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.
Isu undi 18 tahun kembali timbul apabila Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dilaporkan mendakwa pelbagai kekangan wujud ke arah pelaksanaannya, sebelum negara benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.
Syed Saddiq dan Muzaffar Syah berkata, hak setiap individu dalam proses demokrasi seperti mengundi dan memilih pemimpin yang mereka ingini bagi mewakili suara mereka.
“Setiap negara yang mengamalkan sistem demokrasi akan membenarkan rakyatnya mengundi bagi memilih pemimpin. Oleh itu, ayuh segera berikan hak orang muda untuk mengundi,” kata mereka.