Malaysia

Cuti sekolah, tempat tarikan di KL jadi tumpuan

KUALA LUMPUR: Cuti penggal persekolahan yang baru saja bermula semalam, dimanfaatkan ibu bapa untuk membawa keluarga ke beberapa lokasi tarikan di sekitar Lembah Klang.

Tinjauan BH di Zoo Negara dan Muzium Negara mendapati, kedua-dua lokasi berkenaan yang sebelum ini ditutup hampir dua bulan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal Januari lalu, dipenuhi pengunjung sejak awal pagi.

Walaupun teruja menghabiskan masa hujung minggu bersama keluarga, kebanyakan pengunjung tidak alpa bahawa Kuala Lumpur dan Selangor masih lagi berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga 31 Mac ini.

Di Zoo Negara, pemerhatian mendapati kebanyakan pengunjung mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk menunggu giliran memasuki tempat tarikan berdasarkan kapasiti yang dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Pengunjung didapati mematuhi SOP ditetapkan termasuk mengenakan pelitup muka serta mengimbas aplikasi MySejahtera dan membuat pemeriksaan suhu.

Orang ramai mengikut SOP dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika membawa keluarga ke Zoo Negara sempena cuti sekolah. - Foto NSTP/Fathil Asri
Orang ramai mengikut SOP dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika membawa keluarga ke Zoo Negara sempena cuti sekolah. – Foto NSTP/Fathil Asri

Kakitangan swasta, Mohd Afizi Jaffar, 38, mengunjungi Zoo Negara sejak awal pagi lagi bersama 10 lagi ahli keluarganya.

Katanya, kunjungan itu sudah dirancang sejak dua minggu lalu selepas mengetahui Zoo Negara kembali dibuka kepada pengunjung sejak 5 Mac lalu.

Sebagai persediaan awal, Mohd Afizi membeli tiket lebih awal secara dalam talian beberapa hari yang lalu.

“Saya sudah jangkakan ramai orang akan mengunjungi Zoo Negara, tetapi disebabkan PKPB, jumlah pengunjung yang masuk ke dalam Zoo Negara dihadkan dan dilakukan secara berperingkat.

“Ini membolehkan kesesakan di dalam Zoo Negara dikurangkan sekali gus memudahkan saya membawa ahli keluarga dan anak-anak berjalan-jalan di sekitar kawasan ini.

“Paling penting hasrat anak-anak mengunjungi Zoo Negara dapat ditunaikan dan mereka juga seronok dan teruja mendapat kesempatan melihat pelbagai jenis haiwan di depan mata,” katanya ketika ditemui BH.

Orang ramai mengambil peluang ketika cuti sekolah untuk membawa keluarga beriadah di Zoo Negara. - Foto NSTP/Fathil Asri
Orang ramai mengambil peluang ketika cuti sekolah untuk membawa keluarga beriadah di Zoo Negara. – Foto NSTP/Fathil Asri

Sementara itu, Jason Chin, 41, yang hadir ke Zoo Negara bersama keluarga dan rakan-rakan, berpuas hati dengan SOP yang diamalkan pengunjung sepanjang berada di tempat tarikan keluarga itu.

“Mula-mula ada juga sedikit risau tambahan lagi kami turut membawa kanak-kanak tetapi selepas berada di sini, saya lihat semuanya dalam keadaan terkawal.

“Selepas setahun, masyarakat nampaknya sudah membiasakan diri dengan norma baharu jadi di mana-mana sahaja, arahan mengenakan pelitup muka di tempat tarikan umum sudah dijadikan satu kebiasaan.

“Semua pihak mungkin sudah penat berada di rumah. Jadi apabila diberi kebenaran keluar untuk beriadah bersama keluarga di tempat tarikan umum sebegini, masing-masing sudah tahu tanggungjawab yang perlu diambil bagi menjaga diri dan keluarga,” katanya.

Tinjauan mendapati orang ramai mengikut SOP dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal ketika membawa keluarga ke Zoo Negara sempena cuti sekolah. - Foto NSTP/Fathil Asri
Tinjauan mendapati orang ramai mengikut SOP dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal ketika membawa keluarga ke Zoo Negara sempena cuti sekolah. – Foto NSTP/Fathil Asri

Di Muzium Negara, jumlah pengunjung semakin meningkat termasuk selepas waktu makan tengah hari. Selain kunjungan keluarga, turut dilihat berada di ruang pameran ialah kumpulan pelajar.

Mohd Fayaz Amin, 35, dan isteri yang mengambil kesempatan cuti penggal persekolahan untuk membawa tiga anak-anak mereka bermalam di ibu negara selama beberapa hari selepas beberapa bulan berada di rumah susulan PKP.

Beliau yang ditemui tadi, membuat keputusan mengunjungi Muzium Negara dan ia ternyata mengujakan anak-anaknya, Faliq Istiqlal, 7, serta Fadya Thahirah, 9.

“Sebenarnya anak-anak pun sudah lama terperap di rumah dan banyak kali bertanya bila mereka boleh keluar beriadah.

“Jadi saya dan isteri ambil keputusan untuk menggembirakan mereka dan manfaatkan cuti penggal persekolahan ini dengan bermalam di ibu negara selama tiga hari di samping membawa mereka ke tempat tarikan di ibu negara,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close