Malaysia

48 orang kanan Geng Nicky ditahan Sosma, rampasan cecah RM7.4 juta

KUALA LUMPUR – Polis menahan 48 individu, termasuk 42 lelaki dan enam wanita, dipercayai terbabit dengan sindiket pengubahan wang haram serta jenayah komersial dalam Operasi Pelican 3.0 di sekitar Selangor dan Lembah Klang, antara 20 hingga 28 Mac lalu.Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kesemua mereka yang ditahan itu termasuk seorang individu  bergelar Datuk Seri, adik kepada ketua kumpulan Geng Nicky, Datuk Seri Liow Soon Hee yang dikehendaki polis Johor, sebelum ini.“Kesemua 48 orang ini juga merupakan orang kanan kepada Datuk Seri Liow Soon Hee yang kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.“Sebanyak 70 serbuan telah dijalankan bagi mengesan dan menangkap anggota kumpulan Geng Nicky.“Geng Nicky diketuai Datuk Seri Liow Soon Hee, 33 yang merupakan pengasas Winner Dynasty Group berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.Op Pelican 3.0 dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Jabatan Siasatan Jenayah Johor dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 melibatkan 220 pegawai dan anggota polis.Menurutnya, dalam operasi itu polis juga merampas sepucuk pistol jenis Glock 17 bersama satu kelopak peluru berisi sembilan butir peluru serta wang tunai termasuk mata wang tempatan dan asing berjumlah RM773,145.78.Selain itu, polis juga menyita kenderaan mewah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM6.67 juta dan kesemuanya dipercayai dibeli secara tunai menggunakan hasil aktiviti haram itu.“Polis juga merampas lain-lain barang seperti jam tangan mewah dan barangan berjenama yang akan dinilai semula oleh pakar bagi mendapatkan nilaian sebenar,” jelasnya.Pihak polis turut membekukan 41 akaun bank bernilai RM4.053 juta dan 35 unit kenderaan bernilai RM8,863,759 melibatkan 21 individu dan 16 entiti.“Ia melibatkan Yayasan Winner Emperor Sedunia dan Pertubuhan Integrity Nicky Liow Malaysia di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001.“Tindakan lanjut menjejak dan membekukan aset-aset berupa tanah, rumah dan bangunan pula sedang dijalankan,” katanya.Katanya lagi, operasi itu dilancarkan susulan maklumat risikan yang diperoleh pada pertengahan) Januari 2021 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Johor selepas Op Pelican 2.0 yang melibatkan aktiviti Macau Scam.“Pihak task force IPK Johor telah menjalankan siasatan dan risikan kewangan yang mendedahkan kewujudan aktiviti penipuan dalam talian menggunakan akaun keldai dan mempunyai transaksi kewangan dengan syarikat milik Winner Dynasty Group,” katanya.“Akaun keldai itu dipercayai terlibat dengan aktiviti jenayah komersial seperti Ah Long, pelaburan tidak wujud dan tipu jual beli dalam talian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Source
Malaysia GAzette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close