Malaysia

Naib Canselor Universiti UCSI meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Naib Canselor dan Presiden Universiti UCSI, Datuk Dr Khalid Yusoff dilaporkan meninggal dunia, tengah hari tadi.

Allahyarham berusia 66 tahun meninggalkan isteri, Prof Datin Paduka Dr Khatijah Mohd Yusoff selepas menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM).

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Kumpulan UCSI, Datuk Peter Ng menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang tidak akan berehat dengan kejayaan.

“Beliau (Khalid) memberi kesan mendalam terhadap pelajar UCSI, selain menguruskan kerjasama dengan Universiti Harvard bagi memperkasakan pelajar perubatan UCSI dengan peluang mengikuti program penyelidikan berimpak tinggi di universiti terbaik dunia.

“Mari kita mengenang beliau atas semua perkara diperjuangkan dan semoga kita mencontohi komitmen beliau dalam mencapai kecemerlangan, fokus serta tidak goyah dalam mencipta dunia lebih baik,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Allahyarham memainkan peranan penting dalam meningkatkan kedudukan UCSI sejak diterajuinya pada 2013.

Hasilnya, UCSI menerima pelbagai pengiktirafan akademik.

Di bawah kepimpinan Allahyarham, UCSI muncul sebagai universiti swasta terbaik di Malaysia untuk dua tahun berturut-turut bagi QS World University Rankings 2019 dan 2020.

Malah, bagi pencapaian Penarafan Bersepadu Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Setara) 2018/2019, UCSI berjaya mencapai lima bintang sebagai Universiti Matang (Mature University).

Sebagai tokoh berpengalaman dalam industri, Allahyarham turut membawa UCSI ke persada dunia apabila berjaya mewujudkan kerjasama strategik dengan universiti terbaik dunia termasuk Universiti Harvard.

Sebelum ini, Allahyarham mendapat latihan sebagai pakar kardiologi yang memulakan karier perubatan sebagai pelajar di Universiti Melbourne, Australia sebelum menjalani latihan di Universiti Newcastle-upon-Tyne, United Kingdom (UK).

Sekembali ke Malaysia, beliau membina karier sebagai ahli akademik yang menyokong penyelidikan, malah hasil penyelidikannya diterbitkan oleh jurnal antarabangsa.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close