Malaysia

Fenomena La Nina punca ribut petir dan hujan lebat

PETALING JAYA – Ribut petir dan hujan lebat yang melanda di negeri pantai barat dan pendalaman Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak disebabkan fenomena La Nina

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan itu berpunca daripada peralihan angin monsun yang berlaku sejak 16 Mac lalu dan dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei ini.

“Apabila kita sebut peralihan angin monsun, ia akan dikaitkan dengan ribut petir dan hujan lebat untuk waktu singkat bersama angin kencang dan berlaku pada waktu petang hingga malam.

“Awan ribut petir ini tidak bersaiz besar. Saiznya satu hingga 10 kilometer (km) daripada sel-sel ribut petir dan tingginya boleh mencapai sehingga 15 kilometer (km). Apabila ia terkumpul akan menghasilkan pengumpulan angin yang kuat dan menyebabkan ribut,” katanya di sini.

Menurut beliau, angin kencang yang ekstrem boleh mencapai kelajuan sehingga 100 kilometer sejam (km/j) berbanding angin biasa hanya 50 hingga 60 km/j.

Semalam, banjir kilat melanda sekitar ibu negara susulan hujan lebat berserta ribut petir secara berterusan sejak 4.30 petang.

Terdapat beberapa kawasan mengalami pokok tumbang, cermin bangunan pecah, malah ada khemah peniaga bazar Ramadan rosak teruk akibat diterbangkan angin.

Dr. Hisham berkata, situasi tersebut mungkin faktor kehadiran angin kencang yang ekstrem di kawasan tengah bandar ekoran hujan lebat dan ribut petir.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan cuaca di negeri pantai barat akan kembali tenang dan reda sedikit pada hujung minggu ini (18 atau 19 April), susulan berlakunya ribut tropika Filipina (Surigae).

Katanya, pembentukan angin ribut Surigae itu telahpun terbentuk, namun, keadaan akan kembali hujan lebat dan ribut petir sehingga Mei ini selepas ribut Surigae itu mula bergerak ke arah Filipina.

Beliau menasihati peniaga dan orang ramai supaya lebih berhati-hati sepanjang peralihan angin monsun ini dan sentiasa bersiapsiaga dalam sebarang situasi terutama apabila berlaku angin kencang dan ribut petir.

“Memandangkan peralihan angin monsun ini berlaku ketika bulan Ramadan, awan petir akan terbentuk dalam tempoh satu jam dengan kehadiran guruh dan kilat.

“Justeru saya mengingatkan para peniaga bazar agar ambil tindakan awal dengan menutup keperluan perniagaan atau mengalih barang mereka bagi mengelakkan khemah diterbangkan angin,” ujarnya.

Manakala bagi orang awam perlu merancang perjalanan  dengan menaiki kenderaan awam agar lebih selamat daripada terperangkap dalam banjir kilat.

Malah, pengguna kenderaan pula diminta mengelakkan parkir kenderaan di kawasan rendah atau di bawah pokok.” katanya. – MalaysiaGazette

Source
Malaysia Gazette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close