Bazar Ramadan Tok Adis diarah tutup sementara

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Terengganu menutup sementara Bazar Ramadan Tok Adis, dekat Kuala Ibai selepas didapati banyak berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP)sejak dibuka empat hari lalu.
Ia bazar Ramadan pertama di negeri ini yang diarah tutup sementara selama 14 hari bermula 8 malam tadi hingga 30 April.DISYORKAN UNTUK ANDA
- MBKT perketat SOP bazar Ramadan, Aidilfitri
- Langgar SOP bazar Ramadan, polis mula tindakan tegas
- Gerai, bazar Ramadan, Aidilfitri ditutup jika langgar SOP
- MBKT sedia 20 tapak bazar Ramadan, 3 bazar Aidilfitri
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata perintah penutupan bazar Ramadan Tok Adis itu dilakukan agar penganjur dapat memperkemaskan SOP yang ditetapkan dan memastikan ia dipatuhi oleh peniaga serta pengunjung.
Katanya, pemantauan telah dilakukan oleh pegawai penguat kuasa di lokasi itu selama beberapa hari dan pihaknya mendapati banyak pelanggaran SOP berlaku.
“Arahan penutupan bazar itu bukan secara mengejut kerana nasihat telah pun diberi…penutupan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan dan berharap langkah ini akan menjadi iktibar kepada semua agar mereka tidak cuai dalam pematuhan SOP,” katanya di sini, hari ini.
Penutupan itu berkuat kuasa di bawah Seksyen 18 (1) (f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Antara SOP yang mesti dipatuhi di bazar Ramadan ialah pengambilan suhu badan, pendaftaran masuk menggunakan aplikasi MySejahtera, penggunaan cecair pembasmi kuman, pemakaian pelitup muka, laluan sehala dan hanya pengunjung 13 tahun ke atas sahaja dibenarkan masuk.
Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi berkata jabatan sentiasa melakukan pemantauan tahap pematuhan SOP di semua bazar Ramadan di seluruh Terengganu bagi mengelak wujudnya kluster baharu COVID-19 akibat pelanggaran SOP di lokasi niaga itu.
Sebanyak 69 lokasi bazar Ramadan dengan 4,326 petak niaga beroperasi di seluruh Terengganu pada Ramadan kali ini.
Daripada jumlah itu, 22 lokasi adalah di Kuala Terengganu, Kemaman (19), Besut (10), Setiu (enam), Dungun (lima), Marang (lima) dan Hulu Terengganu (dua).
Sementara itu, peniaga, Ahmad Korim, 50, dari Kuala Ibai kecewa dengan sikap penganjur yang tidak menyediakan petugas mencukupi untuk mengawal pengunjung.
Katanya, penganjur gagal memenuhi janji termasuk menyediakan khidmat anggota RELA dan petugas untuk mengawal kemasukan pengunjung.
“Kami tidak menyalahkan kerajaan, sebaliknya penganjur perlu bertanggungjawab atas kecuaian sehingga menyebabkan operasi bazar Ramadan ini terpaksa ditutup hanya selepas empat hari beroperasi,” katanya.
Ahmad yang terkejut selepas membaca notis penutupan bermula daripada semalam sehingga akhir bulan ini yang ditampal pada tali keselamatan di pintu masuk bazar, merayu kerajaan membenarkan mereka berniaga di bahu jalan.