#kitajagakitaMalaysia

Kawalan di plaza tol, sempadan negeri diperketat

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal ketat plaza tol di ibu negara dan di setiap jalan masuk sempadan negeri melalui sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan rentas negeri.

Langkah itu bertujuan mengekang wabak COVID-19 yang mencecah lebih 2,000 kes sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata gerakan memperketatkan pergerakan rentas negeri dibuat susulan arahan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Ketika ini perjalanan merentas negeri diperketatkan di plaza-plaza tol. Selain itu, (perjalanan) rentas negeri masih terkawal di jalan masuk sempadan negeri oleh sekatan jalan raya di bawah pentadbiran Ketua Polis Negeri masing-masing,” katanya kepada BERNAMA, hari ini.

Kelmarin, Acryl Sani dilaporkan berkata, pergerakan rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan hanya dibenarkan pada Isnin hingga Khamis, manakala bagi tujuan kecemasan dan kematian yang dibenarkan hanya membabitkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak serta adik-beradik.

Pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis dan jamuan lain dilarang.

Ia susulan PDRM mengambil serius peningkatan kes baharu COVID-19 sejak beberapa hari lalu dan usaha mengekang penularan wabak itu diperketatkan.

Mengulas mengenai aliran trafik di plaza tol utama, Azisman berkata, ketika ini semuanya berjalan lancar dan berjalan seperti biasa.

“Aliran trafik seperti biasa (dan) lancar. Walaupun ada sedikit peningkatan (aliran trafik) tetapi masih terkawal. Hanya pada waktu puncak, berlaku sedikit kesesakan waktu pergi pejabat dan di sebelah petang untuk balik dari pejabat ke rumah,” katanya. – BERNAMA

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close