JenayahMalaysia

Suspek utama pukul pengawal peribadi didakwa di mahkamah esok

KUALA LUMPUR – Suspek utama kes pukul dan mengugut bunuh dua pengawal peribadinya dengan pistol kerana berpuasa akan didakwa ke mahkamah esok.

Ketua Polis daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek yang juga seorang ahli perniagaan berusia 44 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Jalan Duta.

Suspek kini sedang menjalani tahanan reman sejak Ahad lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan akan dibawa ke Kuala Lumpur pagi esok.

“Polis Dang Wangi telah melengkapkan kertas siasatan ke atas suspek utama itu dan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“DPP sudah meneliti kertas siasatan dan mengeluarkan arahan mendakwa suspek utama di mahkamah pada 22 April 2021 (esok),” katanya ketika dihubungi hari ini.

“Suspek akan menghadapi empat pertuduhan dalam kes insiden memukul serta mengacukan pistol dan mengugut bunuh dua pengawal peribadinya kerana berpuasa,” kata Mohamad Zainal.

Suspek utama selaku majikan mangsa juga akan diheret ke Mahkamah Majistret Klang esok untuk menghadapi tujuh lagi  pertuduhan di Mahkamah Klang di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kegentaran jenayah dengan cara mengacukan pistol ke arah salah seorang mangsa.

Dia turut akan dituduh di bawah Seksyen 109/324 KK kerana bersubahat mengarahkan (rakan sekerja) iaitu pembantu peribadinya mencederakan dua mangsa dengan menggunakan rotan, Seksyen 323 KK kerana menampar serta menyerang perut salah seorang mangsa menggunakan lutut.

Dia turut akan didakwa di bawah Seksyen 298 KK kerana mengeluarkan perkataan dengan niat untuk menyinggung perasaan agama yang dianuti oleh kedua-dua pengawal peribadinya.

Tambah beliau, suspek telah ditahan reman tiga hari sehingga Sabtu lalu sebelum diserahkan kepada IPD Klang Selatan untuk siasatan kes sama sebelum direman lima hari sehingga esok di Mahkamah Klang untuk membantu siasatan kes.

Katanya, kertas siasatan ke atas suspek utama itu telah dibuka dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.’

Malah aktiviti kegiatan haram majikan tersebut turut disiasat di bawah Akta Pengubahan Wang Haram 2001 berikutan dikesan terlibat kegiatan haram ah long dan judi selain rampasan jongkong emas seberat 100 kilogram bernilai RM28.45 juta di sebuah rumah milik salah seorang daripada empat lagi mangsa bersubahat dalam insiden itu di Taman Batu Nilam, Bukit Tinggi Klang pada 14 April lalu.

Dalam pada itu,  seorang lagi suspek iaitu pembantu peribadinya daripada empat lagi suspek yang ditahan bersubahat dalam kejadian di Taman Batu Nilam Klang itu juga akan dituduh di Mahkamah Majistret Klang esok.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dua suspek berkenaan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jenayah bagi menghadapi tujuh pertuduhan.

“Mereka akan dihadapkan atas tujuh pertuduhan termasuk pembantunya akan didakwa di bawah Sek 324 KK kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan rotan ke atas kedua-dua mangsa.

“Cadangan tambahan, suspek ketiga dibebaskan tanpa syarat memandangkan tiada sebarang kaitan dengan kejadian serta tiada sebarang keterangan yang boleh kaitkan secara material.

“Manakala suspek keempat dan kelima dilepaskan dengan bon jaminan di bawah Sek. 118 KTJ dan dijadikan saksi pendakwaan dalam kes ini,” katanya.- MalaysiaGazette

Source
Malaysia Gazette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close