99 dikompaun gagal rekod butiran diri, daftar MySejahtera

KUALA LUMPUR: Gagal merekod butiran diri dan mendaftar MySejahtera ketika masuk ke premis mencatat jumlah kesalahan tertinggi dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara, semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 243 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam dengan 219 individu dikompaun dan 24 lagi direman.
Seramai 99 orang dikenakan tindakan atas kesalahan gagal merekod butiran diri dan mendaftar ketika masuk ke premis, diikuti tidak memakai pelitup muka (51), tiada penjarakan fizikal (37), aktiviti pusat hiburan (18) dan lain-lain kesalahan (38).
“Semalam, pasukan petugas Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 63,289 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
- Cuma 6 ditahan, tahap pematuhan SOP PKP meningkat
- 196 individu ditahan tak patuh SOP
- PKPP: 549 individu ditahan
- 594 ditahan ingkar SOP PKP
“Sebanyak 3,402 Pasukan Pematuhan membabitkan 15,446 anggota membuat pemantauan di 4,410 pasaraya, restoran (5,140), kilang (2,005), bank (4,025), pejabat kerajaan (853) dan penjaja (4,535),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebanyak 2,151 pasar awam dan pasar tani, tempat ibadah (3,301), tempat riadah (1,748), terminal pengangkutan darat (1,600), terminal pengangkutan air (501) dan terminal pengangkutan udara (123) turut dipantau.
Mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan tiga buah kenderaan darat dirampas, semalam.
“Pihak berkuasa turut mengesan 112 buah bot dan kapal di perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan.
“Selain itu, sebanyak 272 sekatan jalan raya turut dilaksanakan di seluruh negara menerusi Op Benteng oleh PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM),Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Kawalan Sempadan Negara (AKSEM),” katanya.
Sementara itu, katanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), semalam melaksanakan 88 operasi sanitasi awam meliputi 27 zon merah, zon jingga (enam), zon kuning (14) dan zon hijau (tiga) di seluruh negara.
“Semalam, seramai 826 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanyadikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.
“Pada masa ini masih terdapat 7,262 individu sedang menjalani kuarantin wajib,” katanya.